VVIP DENAI CINTA

08 Mac 2012

Saksi Pernah Nampak Muthuraja & Shafiq Di Rumah Pathmanabhan

SHAH ALAM, 7 Mac : Seorang saksi memberitahu perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini Rabu bahawa beliau pernah nampak dua ahli perniagaan yang dilaporkan hilang dua tahun lepas, Shafiq Davendram Abdullah dan Muthuraja a/l Allalkathan di rumah bekas majikannya, N Pathmanabhan.

Pembantu rumah warga Indonesia, Siti Hamidah Karnax, 19, berkata demikian ketika diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani membuat pengecaman terhadap dua keping gambar yang mana masing-masing merupakan gambar Shafiq dan Muthuraja.

"Kamu cam dua keping gambar ini," soal Idham.
"Ya saya cam," jawab Siti Hamidah.
"Bagaimana kamu boleh cam mereka," soal Idham.
"Sebab saya pernah nampak mereka di rumah Pathmanabhan," jawab saksi ke-33 pendakwaan itu yang dipanggil semula ke mahkamah untuk pengecaman gambar.

Pathmanabhan, bekas peguam, serta tiga pekerja ladang T Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini dalam keterangannya di mahkamah, isteri Shafiq, Samson Nahar Mohamed Dali mengesahkan bahawa ahli perniagaan itu tidak pulang ke rumah mereka di Sungai Petani, Kedah, selepas pergi ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dengan seorang peguam dikenali sebagai Datuk Pathma pada April 2010.

Isteri kedua Muthuraja, S Usharani, dalam keterangannya sebelum ini juga mengesahkan bahawa ahli perniagaan itu tidak pernah pulang semula ke India selepas pergi ke Malaysia untuk berjumpa Pathmanabhan pada Januari 2010.

Ketika diminta peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan untuk membuat pengecaman terhadap empat keping gambar lain termasuk gambar Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa Datuk Abdul Rahman Palil, Siti Hamidah berkata beliau tidak mengecam keempat-empat individu di dalam gambar berkenaan.

"Kamu hanya cam gambar dua individu ini (Muthuraja dan Shafiq)," soal Manjeet dan saksi itu menjawab: "Ya".

Ketika memberi keterangan pada 3 Ogos tahun lepas, Siti Hamidah berkata beliau pernah melihat api besar di ladang yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin sebanyak lima kali termasuk semasa seorang lelaki bernama Raja dari India datang ke ladang itu.

Beliau dalam keterangannya juga pernah melihat pembakaran sedemikian semasa kawan baik Pathmanabhan bernama Shafik datang ke ladang yang sama.

Saksi ke-103 pendakwaan, penolong pegawai tadbir Unit Rekod, Bahagian Pendaftaran Kenderaan, Jabatan Pengangkutan Jalan Kuala Lumpur Ahmad Humazi Awang pula mengesahkan bahawa Pathmanabhan merupakan pemilik berdaftar ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax bernombor pendaftaran WSF 8707. Ahmad Humazi yang merujuk kepada rekod kenderaan yang telah dilesenkan juga berkata kereta berkenaan dibeli pada 9 Dis 2009.

Kenderaan itu merupakan antara eksibit yang dirampas dari ladang berkenaan oleh pihak polis dan Siti Hamidah dalam keterangannya sebelum ini juga berkata telah melihat tertuduh keempat, Kathavarayan memasukkan parang dan pisau ke tempat duduk belakang kereta itu pada 30 Ogos 2010 iaitu hari keempat-empat individu berkenaan dilaporkan hilang.

Turut memberi keterangan dalam prosiding hari ini ialah bekas isteri Kamaruddin, Noor Fazilah Ab Sani yang mengesahkan bahawa beliau dan Kamaruddin bercerai pada 24 Mac 2006.

Sementara itu, percubaan pihak pendakwaan untuk mengemukakan rekod prosiding rayuan dan semakan dua saksi pendakwaan, U Suresh dan K Sarawanan kepada mahkamah dibantah pihak pembelaan atas dua faktor iaitu kebolehterimaan dan perkaitan dokumen berkenaan dengan perbicaraan kes bunuh itu.

Bantahan dibuat ketika saksi ke-105 pendakwaan, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini Norhayati Mohamad Yunus diminta mengemukakan kepada mahkamah rekod prosiding rayuan dan semakan Suresh serta Sarawanan yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan esok untuk membuat keputusan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails