VVIP DENAI CINTA

02 Februari 2012

Jarum BOM JANGKA Telah Bergerak Untuk Rakyat Pahang - Lynas Dibenar Beroperasi!!!

"Hari ini kita menerima berita yang sangat dukacita, sedih dan marah apabila kerajaan meluluskan lesen beroperasi sementara (TOL) kepada Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang, dalam keadaan pelbagai syarat yang ditetapkan oleh EIA dan EALB masih belum dipenuhi."

"Apa makna ribuan bantahan rakyat dibuat, kalau kerajaan langsung tidak memikirkan bantahan tersebut."

"Lynas adalah bom jangka yang telah dipasang. Andai berlaku sesuatu yang tidak diingini, bagaimana nasib lebih 300,000 warga Kuantan, pencemaran air sungai dan lautan, kilang penapis minyak sawit yang hanya 2km dari kilang, bagaimana kalau minyak sawit kita tercemar, ini akan menjahanamkan masa depan warga felda dan terlalu besar untuk digambarkan."

"Kenapa kerajaan mengambil projek yang terlalu besar rasiko untuk rakyat ini, dan semalam lesen pra operasi telah diluluskan, bermakna jarum jam 'bom jangka' telah bergerak." - Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man

Pengerusi Eksekutif Lynas Berniat Jahat
KUALA LUMPUR, 1 Februari : PAS menyelar kenyataan Pengerusi Eksekutif Lynas, Nicholas Curtis yang mendakwa bahawa PAS menyokong kilang Lynas dan isu tersebut hanya merupakan pandangan sebelah pihak dari Fuziah Salleh dan PKR sahaja.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Ustaz Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan tersebut berniat jahat untuk memesongkan fokus rakyat berkenaan isu sebenar yang timbul berikutan pembinaan kilang kontroversi tersebut dan berniat untuk memecah-belahkan penentangan rakyat terhadap operasi mereka.

Tegasnya, perjuangan menentang pembinaan dan pengoperasian kilang tersebut adalah perjuangan semua golongan rakyat yang prihatin tanpa mengira kaum, agama dan bangsa demi memelihara alam sekitar dan masa depan generasi akan datang.

"Malangnya sebahagian besar masyarakat Melayu disekat dari mendapat maklumat yang telus dan terbuka tidak sebagaimana masyarakat Cina yang bebas menilai maklumat dan membuat penilitian berdasarkan ilmu dan akal yang waras selepas menilai pelbagai kemungkinan dan kesan yang akan timbul kelak," ujarnya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, maklumat yang disampaikan kepada kebanyakan rakyat terutamanya orang Melayu lebih berbentuk satu hala dan lebih kepada momokan yang memburukkan mereka yang menentang kilang tersebut.
PAS, tegasnya lagi adalah konsisten melalui dan tidak pernah berganjak dari pendirian awal menentang projek tersebut. Katanya, usul yang dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Indera Mahkota disokong sebulat suara lalu di panjangkan kepada Muktamar PAS Kawasan Indera Mahkota yang juga disokong secara konsensus.

"Usul ini kemudiannya dipanjangkan ke peringkat PAS negeri Pahang dan seterusnya diluluskan dalam Muktamar PAS Pusat," jelasnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang. Beliau berkata, PAS Indera Mahkota seterusnya menubuhkan Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (BADAR) bagi menyelaraskan aktiviti dan gerak kerja mewakili parti bagi menentang projek tersebut dan BADAR kini merupakan organ parti yang bernaung di bawah Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat.

Jelasnya lagi, Tuan Guru Presiden PAS telah menyerahkan mandat PAS kepada Lajnah Alam Sekitar di bawah pimpinan Zulkefly Mohamad Omar untuk bersama-sama dengan penduduk Pahang menentang projek itu.

Katanya, kehadiran dan sokongan dua tokoh utama PAS iaitu Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis Makan Malam Perdana bagi mengutip dana untuk tindakan mahkamah ke atas Lynas pada 7 Januari lalu satu lagi isyarat jelas pendirian kepimpinan utama PAS terhadap isu Lynas.

Beliau menambah, penglibatan segelintir ahli dan penyokong yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung adalah atas dasar peribadi dan tiada kena mengena dengan dasar dan pendirian PAS. Justeru itu, ujarnya tidak timbul isu PAS menyokong Lynas sebagaimana yang di putar-belitkan oleh Curtis dan golongan-golongan yang berkepentingan dalam projek tersebut.

Katanya, pendirian Curtis bahawa pelabur asing tidak akan datang ke Malaysia sekiranya pembangkang membatalkan projek ini apabila berkuasa nanti adalah sama sekali tidak berasas. "Saya bersetuju dengan kata-kata Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh bahawa sebaliknya pelabur asing mana yang sanggup datang ke Kuantan yang bakal dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi kerana radiasi kilang Lynas tersebut," ujarnya.

Sebaliknya, kata beliau Curtis perlu menjawab dengan jujur mengapa kontractor AkzoNobel yang membekalkan resins untuk pembinaan kilangnya di Gebeng seperti yang didedahkan New York Times.

Soalnya, bagaimana pula masalah kelembapan yang dibangkit AkzoNobel yang menjadi sebab penarikan kontraktor tersebut dalam pembinaan tangki pemprosesan nadir bumi, yang dikatakan tidak stabil dan bakal berlaku kebocoran dan menyebabkan pencemaran.

"PAS tegas dengan keputusannya dan berjanji akan menghalang kilang Lynas habis-habisan. Sekiranya kita diberi kuasa memerintah kelak, PAS berjanji akan memansuhkan operasi kilang ini dengan serta merta. Seperti kata Mursyidul Am, rakyat boleh membantu untuk menghentikan kilang Lynas dengan mudah – buang BN, ambil PR!!!" katanya. - HARAKAHDAILY


Lynas Sambut Baik Kelulusan Malaysia Beri TOL Kilang Di Pahang
MELBOURNE, 2 Februari : Lynas Corporation Ltd menyambut baik keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) Malaysia untuk memberikan lesen beroperasi sementara (TOL) kepada Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang. Syarikat pelombong bumi nadir itu berkata ia bertanggung jawab kepada kemuniti Malaysia untuk mengendalikan kilang itu mengikut standard yang selamat.

TOL itu sah bagi tempoh dua tahun dan jika Lynas mematuhi keperluan kawal atur, satu lesen tetap akan dikeluarkan. AELB berkuasa terhadap kilang itu kerana bahan radio aktif wujud secara semula jadi di dalam nadir bumi.

Risiko radiasi telah mencetuskan ketakutan di kalangan komuniti tempatan, kumpulan alam sekitar dan parti pembangkang Malaysia. Pengerusi Eksekutif Lynas Nicholas Curtis di dalam satu kenyataan menyambut baik kelulusan itu dan syarikat itu menghormati proses kerajaan dan kelulusan pengawal atur tersebut.

Antara syarat yang dikenakan oleh AELB ialah Lynas perlu membayar US$50 juta secara ansuran kepada kerajaan Malaysia sebagai jaminan kewangan dan menyediakan butiran mengenai kemudahan pelupusan yang kekal. Peringkat akhir pembinaan LAMP sedang dilaksanakan di mana pengeluaran pertama dijangka pada suku kedua 2012. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails