VVIP DENAI CINTA

04 Februari 2012

Baharudin Sudah Meninggal Dunia Ketika Di Avenue K - SAKSI

KUALA LUMPUR, 3 Februari : Mahkamah Koroner yang mendengar inkues bagi mengetahui punca kematian pemandu teksi Baharudin Ahmad ketika menyertai perhimpunan haram 9 Julai tahun lepas, Jumaat diberitahu bahawa Baharudin sudah meninggal dunia ketika ditemui di pusat beli-belah Avenue K di Jalan Ampang di sini.

Perkara itu dimaklumkan oleh penolong pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) Mohd Bakhtiar Hazizi Che Muda, 26, yang merupakan petugas kecemasan yang bertindak memeriksa Baharudin sebelum membawanya ke hospital. "Ketika tiba di Avenue K, saya dapati pesakit sudah terbaring dan saya terus memeriksa nadi pesakit di bahagian kiri leher pesakit untuk mengesan kadar denyutan jantungnya dan didapati nadi Baharudin tidak berdenyut."

"Kemudian saya melakukan ujian denyutan jantung dengan menggunakan mesin (Automatic Eletric Defribilator) dan bacaan jantung menunjukkan 'no heart beat' iaitu tiada denyutan," katanya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh semasa pemeriksaan utama.

Saksi ke-11 pendakwaan itu turut memaklumkan selepas kedua-dua ujian untuk mengesan jantung Baharudin dibuat, beliau dan tiga pembantunya termasuk pemandu ambulans bergilir-gilir memberikan bantuan pernafasan pemulihan kardiopulmonari (CPR) dengan menekan dada mangsa.

"Selepas kami bergilir-gilir membuat CPR, yang mengambil masa lebih kurang 10 minit, saya menghubungi pusat kawalan di hospital dan memaklumkan tentang status pesakit. Seterusnya kami diarahkan oleh pusat kawalan untuk membawa pesakit ke hospital," katanya yang memberitahu beliau mendapat arahan daripada pegawai perubatan bertugas dikenali sebagai Dr Sarah untuk membawa mangsa ke hospital.

Mohamad Bakhtiar berkata semasa dalam perjalanan dari pusat beli-belah itu ke hospital, bantuan oksigen terus diberikan kepada Baharudin. "Sejurus tiba di wad kecemasan, saya menghantar pesakit ke bahagian kritikal dan di sana pesakit terus dikendalikan oleh Dr Murnizah," katanya yang memaklumkan tugasnya selesai setakat itu.

Menjawab soalan peguam Ahmad Jufliz Faiza, yang mewakili keluarga Baharudin sama ada beliau mengetahui mengenai perhimpunan tersebut, Mohamad Bakhtiar berkata beliau mengetahui perhimpunan itu akan diadakan dan memaklumkan terdapat beberapa kumpulan ambulans diarah bersedia di kawasan sekitar Kuala Lumpur pada hari kejadian.

Sementara itu ketika prosiding sesi petang, jururawat lelaki Shahrizan Nordin, 30, memberitahu sejurus tiba di Avenue K, beliau melihat seorang lelaki sedang terbaring dan terus memberikan rawatan kecemasan dengan memeriksa status pesakit itu.

"Ketika tiba, saya bersama ketua (Mohamad Bakhtiar) terus memeriksa status pesakit bagi melihat respons lelaki itu, namun pada masa itu pesakit tidak memberikan sebarang respons. Keadaan badannya juga sejuk mungkin disebabkan air yang disiram oleh orang ramai sebelum kami tiba," katanya.

Saksi ke-12 dalam prosiding inkues itu turut menjelaskan bahawa tiada sebarang kecederaan termasuk lebam ditemui pada Baharudin. Inkues yang didengar di hadapan Koroner Zulkpli Abdullah bersambung Rabu depan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails