VVIP DENAI CINTA

09 November 2011

Kes Sosilawati : Tiada DNA Pada Tulang Manusia?

SHAH ALAM, 4 November : Perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini Jumaat diberitahu bahawa 30 spesimen yang berkemungkinan besar tulang manusia yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis tidak mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA).
Perkara itu dibangkitkan oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N Pathmanabhan, semasa menyoal balas saksi ke-63 pendakwaan, pakar perunding forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nurliza Abdullah.

Terdahulu, Dr Nurliza, 46, memberitahu mahkamah bahawa sebanyak 30 sampel daripada 2,030 spesimen yang diambil dari Sungai Panchau dan Ladang Gadong di Banting, yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan itu, dihantar ke Jabatan Kimia untuk mendapatkan DNA.

Beliau berkata 18 sampel telah diambil oleh Pengarah Bahagian Forensik jabatan itu, Lim Kong Boon, pada 15 Sept tahun lepas manakala baki 12 sampel diambil pada 21 Sept tahun lepas oleh ahli kimia, Nor Aidora Saedon.
Ditanya oleh Manjeet Singh, sama ada Jabatan Kimia memaklumkan kepada beliau mengenai hasil analisis DNA itu, Dr Nurliza berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Saya cadangkan kepada awak mereka tidak menjumpai DNA pada kesemua 30 sampel itu," kata Manjeet Singh dan saksi itu menjawab beliau tidak tahu.

"Awak terkejut saya beritahu perkara ini?" soal Manjeet.

"Saya tidak terkejut," jawab Dr Nurliza.

Saksi itu menyambung keterangannya pada hari ke-46 perbicaraan kes Pathmanabhan, bekas peguam, dan tiga pekerja ladang T Thilaiyalagan, R Matan serta R Khatavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 42; Thilaiyalagan, 20; Matan, 21; dan Kathavarayan, 31, didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos tahun lepas. Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Semalam, dalam keterangannya Dr Nurliza mengesahkan bahawa 2,030 daripada 2,040 spesimen yang ditemui di sungai dan ladang berkenaan berkemungkinan besar tulang atau gigi manusia.

Ketika disoal Manjeet Singh sama ada beliau mempunyai kepakaran atau pengetahuan berhubung struktur rangka haiwan seperti lembu dan anjing, saksi itu menjawab beliau hanya mempunyai pengetahuan secara umum sahaja mengenai perkara itu.

"Selain kamu hantar sampel spesimen untuk dirujuk pada pakar gigi, radiologi dan mikroskopik, adakah sampel berkenaan dihantar kepada veterinar?" kata Manjeet.
Dr Nurliza menjawab tidak.

Ditanya mengenai penggunaan istilah 'non-human bones' (bukan tulang manusia) dalam laporan pemeriksaannya, saksi itu menjelaskan beliau tidak dapat mengenal pasti apakah bahan spesimen berkenaan.

"Saya tidak tahu tulang apa, saya hanya boleh kenal pasti item memiliki sifat-sifat atau ciri-ciri manusia. Kalau tidak ada sifat-sifat manusia, kami cakap non-human bones," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung 8 November. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails