VVIP DENAI CINTA

20 Oktober 2010

Hakim Lawat Tempat Kejadian Aminulrasyid Ditembak

SHAH ALAM, 19 Okt : Hakim Mahkamah Sesyen, pasukan pendakwa dan peguam yang terbabit dalam perbicaraan kes seorang anggota polis yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah dalam kejadian tembakan di Seksyen 11 di sini, hari Selasa melawat ke tempat kejadian.

Hakim Latifah Mohd Tahar dan peguam tertuduh dibawa ke ke tempat kejadian oleh pihak pendakwaan bagi melihat lebih jelas gambaran yang diberikan oleh saksi ke-15 pendakwaan, Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, 28, berhubung kejadian itu semasa memberi keterangan pada Khamis lepas.


Dalam lawatan kira-kira setengah jam itu, saksi tersebut yang turut berada di tempat kejadian sekali lagi memberi keterangan dan menunjukkan lokasi di mana beliau melihat sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna putih yang telah melanggar tembok di tepi Jalan Tarian 11/2.


Zafrullah yang merupakan rakan kepada abang Aminulrasyid, turut menunjukkan lokasi rumah mangsa yang terletak kira-kira 20 meter dari tempat kejadian. Turut kelihatan ibu dan kakak mangsa. Saksi itu kemudian membawa rombongan itu ke tebing di rumahnya yang terletak di Jalan Silat Gayung 11/3A di mana beliau ternampak seorang lelaki berlari ke arah bertentangan Jalan Tarian 11/2 sambil dikejar oleh beberapa anggota polis.

Dalam prosiding Khamis lepas, Zafrullah, penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta, berkata beliau terdengar bunyi seakan-akan letupan mercun lebih daripada 10 kali diselangi bunyi siren kereta polis sebelum mendengar bunyi dentuman seperti bunyi objek melanggar dinding ketika berada di rumahnya pada hari kejadian.

Saksi itu juga berkata apabila tiba di tempat kejadian, beliau melihat sebuah kereta Iswara Aeroback berwarna putih telah melanggar dinding dan ternampak satu mayat dalam keadaan kepalanya tersembam di tempat duduk pemandu yang pintunya terbuka manakala bahagian badan dan kaki mayat itu berada di luar kereta.

Menyambung keterangannya hari ini, Zafrullah berkata beliau ada menghubungi Shahreeman semasa beliau menuju ke tempat kejadian kerana ingin memberitahu kejadian yang berlaku berdekatan dengan rumah rakannya itu tetapi Shahreeman tidak menjawab panggilannya. Beberapa jam selepas kejadian tembakan itu, Shahreeman menghubunginya semula iaitu pada pukul 8 pagi memberitahu mengenai kehilangan Aminulrasyid dan sebuah kereta milik kakaknya.

"Selepas saya beritahu tentang warna dan jenis kereta yang melanggar dinding di tempat kejadian, Shahreeman tergamam dan risau. Selepas panggilan itu saya ambil keputusan untuk ke rumah Shahreeman dan ceritakan kembali apa yang saya lihat sebelum itu," katanya semasa disoal balas peguam M. Athimulan yang mewakili Koperal Jenain Subi. Tiga hari selepas kejadian itu, Zafrullah berkata beliau membuat laporan polis kerana ingin membantu keluarga Aminulrasyid.

Jenain, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lepas. Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Turut memberi keterangan pada prosiding hari ini ialah Inspektor Muhammad Radhi Abdul Hamid, 29, dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor yang menjalankan ujian kebolehgunaan ke atas dua senjata jenis submachine gun MP 5 yang digunakan oleh Jenain dan seorang lagi anggota polis semasa kejadian.

Beliau berkata hasil ujian itu mendapati bahawa kedua-dua senjata tersebut boleh berfungsi untuk menjalankan tembakan. Saksi ke-16 itu juga berkata bahawa ketepatan menembak bagi kedua-dua senjata itu bergantung kepada individu yang menggunakannya.

Perbicaraan bersambung esok.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails