SHAH ALAM, 16 Mei : Keterangan empat tertuduh dalam kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain adalah tidak selamat dan tidak boleh dipercayai, Mahkamah Tinggi diberitahu Rabu.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Saiful Edris Zainuddin berkata ini kerana keterangan tertuduh keempat bercanggah dengan keterangan tertuduh lain, terutama berhubung isu sama ada Sosilawati dan tiga individu lagi berada di Ladang Gadong pada 30 Ogos 2010, selain pembabitan mereka membunuh sekurang-kurangnya tiga mangsa iaitu pegawai bank Noorhisham Mohamad, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin.


