VVIP DENAI CINTA

05 April 2012

'CINA BUTA' - TIDAK SAH DAN DIKUTUK

'Rujuk' perkahwinan guna kaedah ‘cina buta’ tak sah, dikutuk
PERMASALAHAN : Isteri saya seorang yang degil, tetapi mudah percaya cakap orang dan mudah dipengaruhi. Kami pernah bergaduh besar semata-mata kerana cerita dan hasutan kawannya. Katanya, kawannya menceritakan kepadanya mengenai skandal saya dengan gadis yang juga kenalannya.

Selepas itu pergaduhan antara kami terus berlaku walaupun atas perkara yang kecil. Kadangkala daripada perkara kecil ini akan merebak besar yang sering kali diakhiri dengan perbuatan cabar mencabar. Satu hari isteri saya mencabar saya supaya menceraikan dia terus dengan talak tiga. Saya pula sambut cabaran dengan penuh keegoan.

Selepas jatuh talak, saya katakan kepadanya bahawa inilah akibat tidak percaya pada suami dan lebih percayakan pada orang lain. Memang benar ada orang yang gembira selepas kami bercerai. Perceraian ini menyakitkan, kami insaf dan menyesali perbuatan kami. Kami masih sayang menyayangi, namun demi malu dan mengelak daripada pengetahuan orang, kami bersekedudukan hampir setahun.

Saya rasa berdosa dengan cara kehidupan yang dilarang ini. Kami bertindak mencari 'cina buta' untuk menyelesaikan hubungan haram ini di Selatan Thailand. Sebaik saja upacara pernikahan cara
'cina buta' itu, isteri saya diceraikan serta-merta tanpa menyentuhnya. Selepas edah, maka kami bernikah semula secara senyap. Soalan saya, adakan perkahwinan saya ini sah dari segi Islam dan bagaimanakah kedudukan anak dilahirkan.
Hamba Allah Serba Salah. Sijangkang, Selangor.

JAWAPAN : Nasihat saya kepada saudara ialah hentikanlah hidup bersekedudukan dengan bekas isteri yang saudara ceraikan dengan talak tiga. Saudara sudah tidak punya hubungan yang sah dengan isteri saudara. Tindakan saudara cuba untuk menghalalkan perbuatan saudara melalui kaedah 'cina buta' juga tidak betul.

Berdasarkan hukum, apabila seseorang itu menceraikan isterinya dengan talak tiga jika dia hendak mengahwini bekas isterinya, isterinya mesti berkahwin dengan orang lain dulu. Selepas dia diceraikan suami keduanya barulah bekas isteri saudara boleh mengahwini saudara semula. Syarat untuk perbuatan ini diterima ialah perkahwinan itu berlaku tanpa 'diatur', bererti ia berlaku dengan kehendak hati tanpa diupah atau dipaksa.

Timbulnya istilah
'cina buta'

Masyarakat Melayu dulu mengambil jalan mudah iaitu 'menggunakan' muallaf (orang yang baru memeluk Islam - biasanya orang Cina) untuk berkahwin dengan isteri diceraikan dengan talak tiga. Selepas bercerai dengan muallaf itu dia pun mengahwini bekas isterinya. Perbuatan ini menurut agama adalah terkutuk dan orang yang sanggup dipergunakan tujuan
'cina buta' ini sebenarnya tak ubah seperti kambing jantan yang dipinjamkan untuk membuntingkan kambing betina orang kampung.

Maka, anak yang lahir dari hubungan saudara dengan isteri ini adalah anak yang tidak sah tarafnya. Menurut hukum muamalat dari apa yang saya pelajari dari kitab Muta'albadrin pula ialah perkahwinan saudara dengan bekas isteri saudara hanya sah jika isteri saudara diceraikan selepas disetubuhi suami keduanya. Bererti 'the marriage is consumed'.

Dalam kes seperti saudara sebutkan keadaan ini (persetubuhan) tidak berlaku. Nasihat saya pada saudara dan bekas isteri ialah seperti berikut :
  • Failkan perceraian saudara dengan isteri di mahkamah syariah. Biar hakim memutuskan dan mengesahkan perceraian saudara dan 'isteri' (saya tulis 'isteri' kerana dari sudut hukum beliau bukan lagi isteri saudara, tetapi harus disahkan menurut hukum/undang- undang). Jika hakim memutuskan saudara menjatuhkan talak tiga dengan isteri saudara terimalah hakikat ini.
  • Bertaubatlah dan bersabarlah di atas keterlanjuran kerana gopoh dalam mengambil sesuatu keputusan.
  • Terima hakikat isteri saudara tidak akan kembali kepada saudara melainkan dia mengahwini orang lain dengan sukarela tanpa diatur dan kemudian diceraikan sama ada cerai mati atau hidup.
  • Saudara dan 'isteri' ambillah haluan masing-masing selepas berpisah dan berserah kepada Allah soal jodoh dan pertemuan.
  • Akhir sekali, ingatlah dunia ini tempat sementara. Janganlah kita menderita di akhirat kerana perbuatan melanggar hukum yang jelas haramnya dalam agama kita.

Jawapan disediakan oleh :
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
dengan kerjasama wanita JIM

disalin tampal dari blog BICARA KALBU

2 ulasan:

ika~~ berkata...

sgt informatif!
teringat cite mr cinderella yusry n erra.hehe

Rohaifi Azri berkata...

Mr Cinderella.... xingat dah ar citer tu.... heeehehe

Related Posts with Thumbnails