IPOH : Wanita atau doktor yang melakukan proses pengguguran janin adalah golongan dilaknat Allah SWT kerana jelas ia perbuatan kejam dan boleh dianggap satu pembunuhan. Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim berkata, proses menggugurkan janin haram dan ia jenayah pembunuhan yang jelas ditegah Islam.
Menurutnya, ulama fiqah sebelum ini sepakat jika kandungan janin itu sudah mempunyai bentuk, maka ia haram digugurkan kerana sudah mempunyai roh. "Ia dianggap pembunuhan terhadap janin walau sebesar mana sekalipun janin dalam perut ibu. Dosa bukan hanya terletak pada wanita yang melakukan malah pihak klinik dan doktor yang bersubahat dalam proses pengguguran turut menanggung dosa besar," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, doktor atau klinik swasta, terutama yang beragama Islam perlu menjauhi perbuatan terkutuk ini. "Berdasarkan fakta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 46 juta pengguguran bayi dilakukan di seluruh dunia setiap tahun. Satu langkah dan tindakan perundangan tegas perlu diambil bagi memastikan gejala pengguguran janin ini tidak terus berlaku. Paling mustahak kesedaran umat Islam terhadap isu ini," katanya.
Sementara itu, Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, pengguguran janin adalah jenayah terancang yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 312 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda atau kedua-duanya.
Sebaliknya jika wanita itu mengandung anak yang mempunyai sifat maka wanita itu boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda. Menurutnya, kegiatan pengguguran bayi atau janin dipelopori golongan doktor tamak yang menggunakan kebolehan dan pengetahuan perubatan dimiliki untuk meraih keuntungan.
"Kegiatan ini sukar dibendung berikutan pemilik klinik atau hospital swasta melakukan proses pengguguran haram ini sepantas mungkin bagi mengelak ia dikesan," katanya. - HARIAN METRO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan