VVIP DENAI CINTA

06 April 2012

Sosilawati Jumpa Pathmanabhan Berkaitan Hal Tanah

Sosilawati Dan Tiga Lagi Jumpa Pathmanabhan Di Banting Berkaitan Hal Tanah
SHAH ALAM, 5 April : Mahkamah Tinggi di sini Khamis dimaklumkan bahawa Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi telah ke Banting pada 30 Ogos 2010, hari mereka dilaporkan hilang, untuk bertemu peguam N Pathmanabhan kerana jutawan kosmetik itu ingin mempercepatkan sekeping cek tertunda bernilai RM3 juta selain berunding tentang hal tanah.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff berkata keterangan menunjukkan Sosilawati memaklumkan anak perempuannya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, bahawa beliau akan pergi ke Banting dengan ditemani Noorhisham Mohamad, Ahmad Kamil Abdul Karim dan Kamaruddin Shamsuddin.

Ishak berkata Noorhisham dan Ahmad Kamil turut memaklumkan isteri masing-masing pada hari berkenaan mengenai pemergian mereka ke Banting berkaitan hal tanah Sosilawati dan perbualan telefon Kamaruddin dengan anak saudara lelakinya juga memberitahu dia berada di Banting bersama Sosilawati.

Beliau berkata berdasarkan keterangan Erni Dekritawati Yuliana tentang perbualan telefonnya dengan Ahmad Kamil pada petang 30 Ogos 2010, kesemua mangsa mungkin berada amat berhampiran dengan Ladang Gadong kerana pada kira-kira 7 malam, bekas pembantu rumah Pathmanabhan ternampak tiga lelaki dan seorang wanita tiba di ladang itu.

"Kesan darah Noorhisham pada kayu pemukul kriket dan dinding menunjukkan satu kesimpulan yang mudah namun ketara iaitu mangsa berada di situ dan dicederakan di lokasi itu. Pendakwaan berpendapat seorang daripada tertuduh telah mencederakan Noorhisham kerana tempat di mana darah itu ditemui merupakan kediaman tertuduh. Malah, semua tertuduh berada di situ pada 30 Ogos 2010 seperti kata bekas pembantu rumah Pathmanabhan yang ternampak kelibat seorang wanita dan tiga lelaki," katanya dalam hujah di akhir kes pendakwaan.

Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 43; Thilaiyalagan, 21; Matan, 22; dan Kathavarayan, 32; didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos, 2010 dan menghadapi hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Ishak berkata pendakwaan akan bergantung kepada keterangan dua saksinya, U Suresh dan K Sarawanan bagi bukti langsung tentang apa yang berlaku pada hari kejadian di Ladang Gadong. Suresh, 28, dan Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka kerana kesalahan melupuskan bukti dalam kes pembunuhan itu.

Malangnya, Ishak berkata kedua-dua saksi berpaling tadah sehingga menyebabkan satu prosiding mencabar kebolehpercayaan terpaksa dijalankan terhadap mereka. Sehubungan itu, beliau berkata pendakwaan kini terpaksa bergantung kepada keterangan mengikut keadaan.

Ishak juga berkata satu lagi petunjuk utama yang menguatkan kes pendakwaan ialah ketika Thilaiyalagan, Khatavarayan dan Suresh membawa polis ke tempat di mana beberapa barangan yang merujuk kepada kesalahan seperti cebisan tulang manusia, telefon Blackberry milik Noorhisham dan Ahmad Kamil, jam tangan Kamaruddin dan Ahmad Kamil serta kunci kereta BMW X5 Sosilawati.

"Paling penting ialah kepingan zink dan penemuannya adalah berdasarkan maklumat yang diberikan Thilaiyalagan (tertuduh kedua). Kepingan zink ini dihantar untuk analisis DNA dan keputusannya mendedahkan terdapat kesan DNA Ahmad Kamil dan Kamaruddin. Selain itu, di atas kepingan zink yang terbakar, tisu manusia turut dikesan."

"Jika melihat keputusan DNA sekali lagi pada pemukul kayu kriket, dinding dan kepingan zink, kesimpulan yang boleh dibuat ialah Ahmad Kamil dan Kamaruddin sudah mati. Kesimpulan ini bukan tanpa asas kerana fakta yang dikemukakan menunjukkan mereka telah dibunuh dan mayat telah dibaringkan di atas kepingan zink sebelum dibakar," katanya.

Ishak juga berhujah Pathmanabhan berbohong kepada bekas suami Sosilawati iaitu Buhari Mohamed apabila tertuduh berkata dia tidak bertemu wanita itu di Banting pada 30 Ogos 2010. "Ini adalah satu pembohongan yang disengajakan oleh tertuduh pertama dan atas alasan ini sahaja, dia perlu diperintah membela diri," katanya.

Beliau juga berkata elemen niat bersama antara kesemua tertuduh lebih jelas apabila Sarawanan, yang bukan penghuni ladang itu kerana bekerja sebagai mekanik di tempat lain, dilihat memunggah kayu di kawasan itu bersama Thilaiyalagan dan Matan pada 29 Ogos 2010.

Fakta ini, katanya, memberikan kesimpulan kuat bahawa mereka akan membakar sesuatu yang besar dan kesan DNA Noorhisham pada dinding serta kayu pemukul kritket selain kewujudan DNA Ahmad Kamil dan Kamaruddin di atas tiga keping zink menunjukkan semua tertuduh mengetahui mangsa akan dibunuh esoknya.

Ishak berkata lebih aneh ialah pada 14 Sept 2010, Suresh membawa polis kepada penemuan segugus kunci di dalam longkang di Subang Jaya yang berjaya digunakan untuk menghidupkan kereta BMW X5 yang dijumpai di tempat letak kereta di Flat Angsana, Subang Jaya.

"Secara efektif, bukti ini menunjukkan Suresh memandu BMW X5 itu dan memarkirnya di Flat Angsana, selepas itu membuang kunci tersebut ke dalam longkang. Jadi, bagaimana BMW X5 itu jatuh ke tangan Suresh? Jelas sekali kereta diambil Suresh dari Ladang Gadong."

"Ini diperkukuhkan oleh fakta yang menunjukkan semua mangsa berada di ladang tersebut pada tarikh berkenaan. Juga boleh diandaikan dengan selamat bahawa ketika Suresh memandu kereta BMW X5 dari ladang tersebut, ia mestilah dilakukan mengikut arahan tertuduh pertama (Pathmanabhan), kerana jika tidak, Suresh tentu tidak berani memandu kereta itu ke Flat Sri Angsana," katanya.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung esok. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails