VVIP DENAI CINTA

11 November 2011

7 Sampel Gigi Manusia Di Temui Di Lokasi Pembunuhan

7 Daripada 10 Sampel Gigi Yang Ditemui Adalah Gigi Manusia - SAKSI
S
HAH ALAM, 10 November : Mahkamah Tinggi Khamis diberitahu bahawa tujuh daripada 10 sampel gigi yang ditemui di Sungai Panchau dan di Ladang Gadong di Banting, yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, adalah gigi manusia.


Dr Norhayati Jaffar, 38, yang bertugas di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata hasil pemeriksaan ke atas tujuh sampel berkenaan mendapati terdapat bentuk akar pada permukaan gigi dan tisu gigi yang biasa kelihatan pada gigi manusia diperoleh melalui pemeriksaan x-ray.

Manakala, tiga sampel gigi yang ditemui di tapak di ladang berkenaan bukan gigi manusia kerana tekstur dan permukaan gigi adalah berbeza dengan gigi manusia dan saiznya lebih besar. "Kemungkinan tiga sampel gigi itu adalah milik haiwan herbivor kerana tekstur gigi manusia yang normal adalah licin, berkilat dan berciut (squeaky sound) kalau dikikis."

"Tetapi apabila saya cuba mengikis pada permukaan gigi bukan manusia hanya keluar kotoran dan hasil pemeriksaan x-ray mendapati tiada sifat tipikal gigi manusia pada tiga sampel berkenaan," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Saksi itu memberi keterangan pada hari ke-48 perbicaraan kes bekas peguam, N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T. Thilaiyalagan, R. Matan serta R.Khatavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 42; Thilaiyalagan, 20; Matan, 21; dan Kathavarayan, 31, didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos tahun lepas dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Saksi ke-69 pendakwaan itu berkata beliau menerima panggilan telefon daripada Pakar Perunding Forensik, Dr Nurliza Abdullah, 46, dari Jabatan Perubatan Forensik (HKL) pada 17 Sept tahun lepas yang meminta bantuannya untuk memeriksa sekumpulan spesimen.

"Apabila sampai di bilik mayat Jabatan Perubatan Forensik HKL pada hari berkenaan, Dr Nurliza telah mengasingkan sampel yang mahu dirujuk kepada saya iaitu sebanyak 10 sampel disyaki gigi," katanya.

Ketika disoal sama ada terdapat sebarang tandaan pada sampel berkenaan, Dr Norhayati berkata, "Terdapat tanda 'S' dan 'T' dan saya diberitahu tanda 'S' ialah sungai manakala tanda 'T' adalah tapak."

Dr Norhayati turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat rekahan yang ditemui pada sampel gigi berkenaan kerana ia terdedah pada suhu yang amat tinggi iaitu 750 darjah Celsius. "Berdasarkan imej yang diperoleh daripada pemeriksaan x-ray, mendapati enamel pada gigi itu tidak kelihatan kerana enamel akan terpisah daripada dentin kerana suhu yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Dr Norhayati turut bersetuju dengan cadangan peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan mengenai laporannya dan laporan Dr Nurliza yang berbeza. Dalam laporan itu, Dr Norhayati menyatakan tujuh daripada 10 sampel gigi itu adalah gigi manusia manakala Dr Nurliza menyatakan dalam keterangan sebelum ini bahawa 2,030 daripada 2,040 spesimen yang ditemui di sebuah sungai dan ladang di Banting kemungkinan besar tulang manusia.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung esok
. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails