VVIP DENAI CINTA

16 November 2011

Pakar Sahkan 25 Spesimen Dipercayai Tulang Manusia

SHAH ALAM, 15 November : Seorang pakar perunding radiologi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa 25 spesimen yang dihantar kepadanya untuk pemeriksaan radiologi disahkan berkemungkinan tulang manusia. Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, Dr Zaleha Abdul Manaf, 52, yang juga ketua Jabatan Radiologi dan Pengimejan Hospital Kuala Lumpur (HKL), bagaimanapun mengakui bahawa penemuannya tidak semestinya 100 peratus tepat.

Menjawab soalan peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N.Pathmanabhan mengenai hasil pemeriksaan beliau yang berbeza dengan hasil pemeriksaan oleh pakar perunding forensik HKL Dr Nurliza Abdullah, saksi ke-63 pendakwaan, Dr Zaleha berkata perkara itu boleh berlaku di mana dua pakar memperoleh dua penemuan berbeza.

Dalam keterangannya sebelum ini, Dr Nurliza mengesahkan bahawa 2,030 daripada 2,040 spesimen yang ditemui di sebuah sungai dan ladang di Banting, yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan itu berkemungkinan besar tulang atau gigi manusia.

Dr Zaleha memberi keterangan pada hari ke-50 perbicaraan kes bekas peguam Pathmanabhan, dan tiga pekerja ladang T Thilaiyalagan, R Matan serta R Khatavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos tahun lepas. Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dr Zaleha, saksi ke-71 pendakwaan, berkata bahawa ketika diminta oleh Dr Nurliza melakukan pemeriksaan radiologi ke atas 31 keping x-ray pada 22 Sept tahun lepas, beliau tidak diberitahu jumlah keseluruhan spesimen tulang berkenaan.

Manjeet : "Kamu periksa kesemua 31 x-ray itu?"
Dr Zaleha: "Ya."

Manjeet : "Kalau ikut keterangan di mahkamah, terdapat 2,040 spesimen dan awak pilih 25 sahaja?"
Dr Zaleha : "Ya".

Manjeet : "Pemeriksaan 25 objek awak buat dengan apa?"
Dr Zaleha : "Dengan menggunakan mata kasar."

Manjeet : "Selepas itu awak keluarkan satu keputusan bahawa itu kemungkinan tulang manusia."
Dr Zaleha : "Ya."

Manjeet : "2,015 objek yang lain awak tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan pemeriksaan radiologi?"
Dr Zaleha : "Saya maklumkan (kepada Dr Nurliza) saya tidak boleh buat kesimpulan bahawa ia adalah tulang manusia."

Ketika ditanya Manjeet sama ada beliau biasa dengan struktur tulang haiwan, saksi itu menjawab beliau tidak begitu arif. Ketika ditanya sama ada beliau bersetuju bahawa manusia dan haiwan berkongsi istilah yang sama pada struktur tulang, Dr Zaleha menjawab tidak semua berkongsi istilah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung pada Rabu, 16 November. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails