VVIP DENAI CINTA

11 November 2011

PEMBANTU KHAS EXCO KELANTAN MENINGGAL DUNIA


Kami memanggilnya dengan gelaran Kama Dhobit (dhobit maksudnya pengawas) masa di zaman persekolahan di Maahad Muhammadi (L) Kota Bharu. Seorang insan yang amat menonjol dari sudut kepimpinan. Tak silap rasanya beliau pernah memegang jawatan sebagai presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) semasa beliau bergelar mahasiswa di USM.

Hari ini, 11.11.11 memahat suatu kenangan yang tak mungkin terlupakan buat yang mengenali beliau apatah lagi kepada keluarga, anak serta isterinya apabila beliau pergi buat selamanya.

Kepada sahabatku Allahyarham Kamarulzaman Abdullah, pergimu di pagi jumaat yang mulia, dan pemergianmu ini usai tugasmu untuk menyampaikan hasrat rakyat kelantan dalam menuntut royalti petroleum milik rakyat Kelantan dari PERDANA MENTERI. Semoga pergimu dalam husnul khotimah dan dirimu ditempatkan oleh Allah swt di kalangan hamba-hambaNYA yang beriman dan beramal soleh. Sesungguhnya, pada hari ini, negeri Kelantan kehilangan sebutir bintang yang kelak bakal bersinar sebagai tokoh pimpinan. AL-FATIHAH.


Pembantu Khas Datuk Husam Musa Meninggal Dunia
KUALA KRAI, 11.11.11 : Pembantu khas kepada Datuk Husam Musa, Kamarulzaman Abdullah (gambar, berdiri kiri) meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya terbabit kemalangan dekat Paloh di sini awal pagi ini.


Ketika kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, beliau bersama dua lagi rakannya menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero, bertembung dengan sebuah kereta Produa Myvi di kilometer 40 jalan Kuala Krai-Gua Musang.
Mereka ketika itu dalam perjalanan pulang dari Kula Lumpur selepas menghadiri majlis penyerahan 'Amanat Tun Razak' kepada PERDANA MENTERI di parlimen berhubung tuntutan bayaran royalti Kelantan.
Akibat kemalangan itu, beliau yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazah Allahyarham kini dibawa ke Hospital Gua Musang. Dua lagi rakannya Roslan Mohd Zain juga cedera di kepala dibawa ke Hospital Kula Kerai manakala Ridwan Elias hanya mengalami mengalami cedera ringan. Pemandu dan penumpang Myvi juga cedera parah dan turut dibawa ke Hospital Kula Kerai untuk rawatan lanjut.

Solat jenazah allahyarham akan diadakan di rumah ayahnya di Batu 4 Wakaf Che Yeh selepas solat Jumaat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Panjang, Kampung Kota. Allahyarham yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Kelantan, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

Sementara itu, Exco Kelantan, Datuk Husam Musa yang kini dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Kamarulzaman. "Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan mereka yang beriman... Al-Fatihah," katanya.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Kamarulzaman. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails