VVIP DENAI CINTA

09 November 2011

Kes Sosilawati : Pakar Perunding Forensik Nafi Memihak Pasukan Pendakwaan


SHAH ALAM, 8 November : Seorang pakar perunding forensik pada Selasa tidak bersetuju dengan dakwaan pihak pembelaan dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain bahawa beliau memihak kepada pihak pendakwaan semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.


Dr Nurliza Abdullah, 46, yang bertugas di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata demikian semasa disoal balas oleh Peguam Manjeet Singh Dhillon dan peguam Amer Hamzah Arshad.
Manjeet Singh yang mewakili tertuduh pertama, N.Pathmanabhan, mendakwa saksi itu tidak objektif dalam jawapannya yang dilihat lebih memihak kepada pihak pendakwaan.

"Anda memihak dalam kes ini, anda tidak bersikap objektif dalam jawapan anda, anda bersikap subjektif dalam jawapan anda," kata Manjeet dan Dr Nurliza menjawab beliau tidak bersetuju dengan dakwaan peguam itu.


Amer Hamzah yang mewakili tertuduh ketiga, R.Matan, juga mendakwa memandangkan pihak polis telah memberi maklumat yang didakwa memprejudiskan kesemua tertuduh kepada Dr Nurliza, keterangan saksi itu di mahkamah dilihat memihak kepada pihak pendakwaan.


"Oleh itu awak cakap objek yang dijumpai di ladang (didakwa menjadi lokasi pembunuhan kesemua mangsa) ialah kemungkinan besar tulang manusia," kata Amer Hamzah dan Dr Nurliza menjawab tidak bersetuju.


Saksi itu menyambung keterangannya pada hari ke-47 perbicaraan kes Pathmanabhan, bekas peguam, dan tiga pekerja ladang T Thilaiyalagan, Matan serta R Khatavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.


Pathmanabhan, 42; Thilaiyalagan, 20; Matan, 21; dan Kathavarayan, 31, didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos tahun lepas dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.


Dalam keterangannya sebelum ini, Dr Nurliza mengesahkan bahawa 2,030 daripada 2,040 spesimen yang ditemui di sungai dan ladang berkenaan berkemungkinan besar tulang atau gigi manusia.


Terdahulu, ketika menjawab soalan Manjeet Singh, saksi itu berkata beliau tidak dapat mengenal pasti jantina, umur, agama dan punca kematian 2,030 spesimen yang dikatakan berkemungkinan besar tulang manusia itu.
Beliau seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Manjeet Singh bahawa tiada satupun objek yang ditemui di ladang itu dihantar untuk pemeriksaan radiologi.

"Semua cara yang munasabah bagi memeriksa dengan kepastian asal usul (yang dikatakan tulang) adalah sama ada melalui pemeriksaan secara histologikal, mikroskopik atau radiologi," kata Manjeet Singh dan saksi itu menjawab tidak setuju.


Ketika disoal balas Amer Hamzah, Dr Nurliza berkata beliau tidak membuat pengecualian dalam laporan pemeriksaannya bahawa terdapat kemungkinan objek yang ditemui di ladang berkenaan adalah tulang haiwan.


Katanya beliau juga tidak membuat perbandingan antara objek yang dikatakan berkemungkinan besar tulang manusia itu dengan tulang haiwan kerana ia bukan satu kemestian untuk berbuat demikian.
"Kalau awak jumpa ciri-ciri yang sama dengan tulang haiwan apa yang awak boleh simpulkan," soal Amer Hamzah.

"Ciri-ciri morfologi haiwan tidak sama dengan tulang manusia. Uniknya tulang manusia berbanding dengan tulang bukan manusia ialah lekuk tulang manusia lebih halus, dari segi sum-sumnya tulang manusia lebih kompleks dan bonjolan pada tulang manusia lebih seni pembentukannya," kata Dr Nurliza.


"Bukankah itu kalau secara umum dan apabila tulang itu sempurna, tetapi dalam kes ini tulang ini tidak sempurna," kata Amer Hamzah.


"Dalam kes ini, walaupun ia tidak sempurna, serpihan tulang ini masih ada bahagian lekuknya," kata Dr Nurliza.

Seterusnya saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa tindakan beliau menghantar sampel spesimen yang dikatakan berkemungkinan besar tulang manusia kepada Jabatan Kimia untuk mendapatkan asid deoksiribonukleik (DNA) adalah disebabkan beliau tidak pasti sama ada ia adalah tulang manusia atau sebaliknya.


"Anda begitu yakin dengan pemeriksaan anda, jadi tak payahlah untuk hantar bagi pemeriksaan DNA, radiologi dan mikroskopik," kata Amer Hamzah dan saksi itu menjawab "ada keperluan."


Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok untuk pemeriksaan semula saksi.
- BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails