VVIP DENAI CINTA

04 Februari 2012

DOKUMEN MILIK AHLI PERNIAGAAN INDIA ANTARA BAHAN DIRAMPAS DARI PEJABAT N PATHMANABHAN

SHAH ALAM, 3 Februari : Beberapa dokumen tercatat nama Muthuraja a/l Allalkathan, ahli perniagaan India yang dilaporkan hilang di Malaysia sejak awal tahun 2010, adalah antara barang kes dirampas daripada pejabat guaman N Pathmanabhan, tertuduh pertama dalam kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Dokumen berkenaan disahkan oleh saksi ke-97 pendakwaan, pegawai turus bahagian operasi khas (D8) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pemangku ASP Koh Fei Cheow yang menyambung keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini Jumaat.

Antara barang kes dikemukakan di mahkamah dan dicam oleh Koh ialah dokumen mahkamah dan perjanjian jual beli antara Muthuraja dengan syarikat Southern Symphony Sdn Bhd dimiliki oleh Sosilawati serta surat kuasa kepada ahli perniagaan yang berasal dari Chennai itu. Turut diserah kepada mahkamah dan dicamkan saksi tersebut ialah beberapa dokumen dengan tercatat nama Abdul Rahman Palil dan salinan cek yang dibayar kepada Pathma Nalli & Partners.

Koh menyambung keterangannya di hari ke-65 perbicaraan kes bekas peguam Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang T Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Muthuraja, 37, dilaporkan hilang sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada 18 Jan 2010.

Laporan mengenai kehilangan ahli perniagaan batu permata itu dibuat isteri keduanya S Usharani, 26, pada 8 Sept 2010. Usharani dijangka dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang akan disambung pada Rabu depan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails