VVIP DENAI CINTA

17 Februari 2012

BOLEHKAH MENGHADIRI PESTA PERKAHWINAN DI GEREJA?

Jika orang bukan islam menjemput kita ke majlis perkahwinannya yang dibuat di gereja, bolehkah kita menghadirinya?

MENGHADIRI PESTA PERKAHWINAN DI GEREJA
Alhamdulillah, Segala Puja–Puji hanyalah milik Allah Ta'ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama' yang mukhlisin, para mujahidin di Jalan Allah Ta'ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada yang bertanyakan permasalahan ini. Islam tidak melarang seseorang muslim itu untuk berbuat baik terhadap orang-orang bukan Islam selagi mereka tidak menunjukkan sikap permusuhan mereka terhadap Islam dan umatnya. Lantaran itulah Allah Ta’ala telah berfirman di dalam ayat 8 dan 9 , Surah al-Mumtahanah :

Ertinya : "Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil."

"Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan orang-orang yang memerangimu karena agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu itu sebagai kawanmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

Begitulah prinsip Islam terhadap golongan bukan Islam, iaitu berbaik-baik dengan mereka yang tidak memusuhi Islam dan umatnya dan bersikap tegas dan keras terhadap golongan yang menentang Islam dan umatnya.

Kembali kita kepada topik yang dikemukakan di atas. Semata-mata masuk ke dalam gereja itu, tidak kami temui sebarang larangannya di dalam agama kita (sepanjang pengetahuan kami yang sedikit ini). Walaupun begitu, ada beberapa perkara penting yang perlu kita perhatikan bersama, iaitu :
  • Hadis Baginda Rasulullah s.a.w : "Sesiapa sahaja di kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangan (kuasa), maka jika cara itu tidak terdaya dilakukannya maka hendaklah dengan menggunakan lisan (nasihat dan teguran), dan kalau tidak mampu juga dengan lisan, maka hendaklah dicegah kemungkaran itu dengan hatinya (dengan perasaan tidak suka/tidak redha), kerana itu adalah selemah-lemah iman." - Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam Muslim rh, al-Imam Ahmad rh, al-Imam Abu Daud rh dan al-Imam Ibnu Majah rh.
  • Atsar (kata-kata sahabat r.a) : Saidina Ali r.a pernah berkata : "Aku pernah membuat makanan lalu aku menjemput Baginda Rasulullah s.a.w, maka manakala sahaja dia sampai ke rumahku, dilihatnya ada gambar-gambar di dalam rumahku, lalu Baginda s.a.w pun balik." - Diriwayatkan oleh al-Imam Ibnu Majah rh.
  • Sabda Baginda Rasulullah s.a.w lagi : "Barang siapa yang benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah sekali-kali di dalam satu majlis (hidangan) yang disediakan arak padanya." - Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad rh, al-Imam Nasaie rh, al-Imam at-Tirmidzie rh dan al-Imam al-Hakim rh.
  • Saidina 'Umar al-Khattab al-Faruq r.a pernah berkata : "Sesungguhnya kami tidak masuk ke dalam gereja-gereja kamu wahai orang-orang Kristian disebabkan di dalamnya ada patung-patung yang bergambar." - Diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh di dalam Kitab as-Solah.
Mungkin timbul persoalan di benak kita apabila kita menghayati sabda-sabda Baginda Rasulullah s.a.w dan kata-kata para sahabatnya r.a.

"Kalau begitu, bagaimanakah kita hendak menghadiri majlis perkahwinan yang diadakan di gereja, tokong, kuil, walhal sudah pasti di sana diadakan upacara-upacara yang bertentangan dengan Islam seperti menyembah patung-patung, mengelilingi api, nyanyian-nyanyian keagamaan mereka, adat persandingan, dihidangkan arak dan sebagainya? Dan bagaimanakah pula kita hendak meneruskan hubungan baik kita dengan rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam?

JAWAPANNYA - Di sini ada beberapa cara yang Insya-Allah boleh menyelesaikan kemelut itu :
  • Biasanya, pesta-pesta perkahwinan yang diadakan di dalam rumah-rumah ibadat orang-orang bukan Islam itu tidaklah terhenti di situ sahaja. Malahan mereka mengadakan majlis makan-minum/kenduri di rumah-rumah mereka. Samalah dengan kita selaku orang-orang Islam, kebanyakan kita hanya menjadikan masjid sebagai tempat melakukan upacara Akad Nikah sahaja, tetapi kenduri di rumah-rumah kita, ataupun di balairaya–balairaya dan bagi yang berduit banyak, di hotel-hotel. Oleh itu, jika kita benar-benar bimbang kita terbabit dengan majlis-majlis yang yang bertentangan dengan Islam, maka kita TANGGUHKANLAH kehadiran kita ke majlis akad nikah mereka. Tidak perlulah kita ke gereja ataupun tokong ataupun kuil mereka. Kita Cuma perlu hadir ke rumah-rumah mereka sahaja yang di situlah mereka mengadakan majlis kenduri.
  • Kalau kita bimbang juga kita dikira 'bersubahat' kerana di dalam majlis-majlis kenduri mereka sudah pasti dihidangkan juga makanan dan minuman yang diharamkan kita menikmatinya, maka kita TANGGUHKANLAH kehadiran kita sehingga selesai majlis itu. Apabila selesai majlis itu, kita pun melawat rakan kita itu dan memohon maaf di atas kelewatan kita lalu kita pun bertegur-sapa/berbual-mesra sambil menikmati makanan dan minuman yang halal yang masih ada (kalau tiada makanan pun tidak mengapa, sebab yang lebih penting ialah menjaga hubungan kita dengan dia), dan akhirnya kita pun memberinya hadiah sempena perkahwinannya itu. Bukankah cara kedua ini juga tidak menjadi apa-apa masalah bagi kita dan sekaligus masih boleh menjaga hubungan baik kita dengan dia?
  • Kalau cara kedua 'tak jalan'. Maka TANGGUHKANLAH lagi kehadiran kita ke suatu masa yang sesuai. Hubungilah kawan kita itu di hari itu dan katakanlah padanya bahawa kita tidak dapat hadir langsung ke majlis perkahwinannya ataupun rumahnya di hari itu. Katakanlah juga padanya, bahawa kita akan menziarahinya 2-3 hari selepas itu dengan membawa hadiah perkahwinannya yang lebih cantik dan bagus sebagai GANTI (qodho) ketidak-hadiran kita ke majlis perkahwinannya. Bukankah cara yang ketiga ini juga tidak berat untuk kita lakukan?
Dan bukankah cara itu juga boleh menyebabkan hubungan kita dengan dia yang tidak beragama Islam itu berterusan dengan baik, sekaligus menyediakan peluang untuk kita berdakwah kepadanya? Umat Islam hendaklah sentiasa 'cerdik', 'berhati-hati' dan juga 'sentiasa berdakwah' dengan segala kebolehan yang ada!!!

Sekian. Semoga ada manfaatnya bersama. Wallahu A'alam Bis Sowab Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN
[1] FATAWA MU’ASIROH III (ms 668) Oleh : Al-'Allamah Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi
[2] KATA BERJAWAB : 1 –5 Oleh : al-'Allamah Ustadz Abd. Qadir Hassan rh Topik : Mendatangi Pesta Kahwin Di Gereja, Halaman : 806–807 Terbitan : Yayasan al-Muslimun, Bangil, Indonesia

Artikel ini disalin-tampal dari al-ahkam.net

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails