VVIP DENAI CINTA

02 Februari 2012

Kes Sosilawati: Tiada Profil DNA Empat Tertuduh Ditemui Pada Eksibit

SHAH ALAM, 1 Februari : Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu tiada profil DNA empat tertuduh dalam kes bunuh membabitkan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain ditemui pada eksibit yang dirampas semasa siasatan kes itu. Pengarah bahagian forensik Jabatan Kimia Lim Kong Boon berkata beliau tidak menemui profil DNA N.Pathmanabhan, T.Thilaiyalagan, R.Matan dan R.Khatavarayan pada kayu kriket, kepingan zink dan penyodok.

Saksi pendakwaan ke-86 itu juga berkata tiada profil DNA empat tertuduh itu ditemui pada pisau berkarat. Semasa disoal balas oleh peguam bela Pathmanabhan, Manjeet Singh Dhillon, Lim berkata profil DNA keempat-empat tertuduh juga tidak ditemui pada 152 eksibit yang diterima daripada pegawai penyiasat, ASP Mohd Ishak Yaacob untuk dianalisis kecuali daripada sampel darah mereka sendiri. "Juga tiada profil DNA ditemui pada karung plastik, seluar dalam, sepasang seluar panjang dan stoking yang saya analisiskan," katanya.

Lim menyambung keterangan pada hari ke-62 perbicaraan kes bekas peguam Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang Thilaiyalagan, Matan dan Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos tahun lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ditanya sama ada beliau mewakili pihak polis ketika memberi keterangan di mahkamah, Lim berkata beliau memberi keterangan berdasarkan laporan kimia beliau. "Adakah anda berat sebelah? Partisan?" tanya Manjeet dan ia dinafikan oleh saksi.

"Anda telah menggunakan perkataan 'mangsa' dan 'suspek' dua kali semasa testimoni anda. Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa dalam pekerjaan anda, ia tidak kira siapakah yang menjadi mangsa dan suspek. Tugas anda hanya memadankan sampel yang diberi kepada anda," kata Manjeet dan saksi menjawab 'ya'.

Ditanya oleh Manjeet siapakah yang menulis nama '1/Hisham' pada spesimen darah, Lim berkata beliau yang menulis nama itu berdasarkan maklumat yang diberi oleh pegawai penyiasat.

"Kenapa anda perlu labelkan '1/Hisham' dan bukannya 'sampel 1'. Kenapa anda tidak beritahu ASP Ishak supaya diam dan katakan padanya anda adalah seorang penganalisis bebas," kata Manjeet.

"Walaupun dengan maklumat ini, analisis saya masih bebas. Ia hanyalah untuk senang dikenal pasti," kata Lim.

"Adakah anda tahu siapakah Hisham," kata Manjeet dan Lim berkata 'tidak'.
"Dia adalah orang yang hilang," kata Manjeet dan Lim menjawab 'ya'.

"Bagaimana anda tahu dia telah hilang," soal Manjeet. "Kerana anda baru sahaja beritahu saya," jawab Lim, menyebabkan hadirin di mahkamah tertawa. Manjeet juga mengadu kepada Hakim Datuk Akhtar Tahir kenapa Lim duduk bersama pihak pendakwaan semasa makan tengah hari.

Saksi mengaku beliau makan bersama dengan pihak pendakwaan dan berkongsi sepinggan buah-buahan bersama mereka. Hakim Akhtar kemudiannya menegur pihak pendakwaan dan saksi kerana tidak beretika.

"Bagaimana anda boleh duduk bersama saksi dengan kehadiran pasukan pembelaan," kata Akhtar. Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff menjelaskan mereka berada di kantin yang sama.

"Ia adalah tidak beretika untuk anda berbuat demikian. Lain kali jika anda mengulanginya lagi, saya akan mengambil tindakan terhadap anda dan anda, Lim harus lebih mengetahui kerana anda telah menceburi bidang ini selama 33 tahun. Kita berada di sini bukan untuk berkawan," kata Akhtar. Lim mengakui kesilapannya dan meminta maaf kepada Akhtar.

Perbicaraan disambung Khamis. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails