VVIP DENAI CINTA

08 Februari 2012

PELAJAR MAMPU BERTUTUR BAHASA JEPUN, KOREA, MANDARIN SELEPAS TERBABIT KEMALANGAN

KELUARGA ANGGAP KEBOLEHAN NORAINI SATU ANUGERAH
BESUT, 8 Februari :
Keluarga pelajar Noraini Ismail, 17, yang tiba-tiba boleh bertutur bahasa Korea, Mandarin dan Jepun setelah terlibat dalam kemalangan baru-baru ini, menganggapnya sebagai satu anugerah. Ibu kepada Noraini, Mansena Daud, 48, berkata pada mulanya beliau dan anggota keluarga yang lain bimbang dengan keadaan Noraini tetapi bila difikirkan dengan lebih lanjut, "kami sedar bukan senang seseorang nak belajar bahasa-bahasa asing."

"Tetapi anak saya mampu bertuturnya dan difahami orang yang menguasai bahasa-bahasa itu. Ia kami anggap anugerah daripada Allah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini Rabu. Beliau bagaimanapun berkata keadaan anaknya kini masih seperti sebelumnya yang boleh bercakap dalam bahasa Mandarin dan Korea tetapi sejak semalam Noraini lebih banyak bertutur bahasa Melayu dengan pelat Cina.

"Bagaimanapun sejak dua hari lepas saya sengaja kejutkan dia ketika dia tidur (pada sebelah pagi) supaya tidak bercakap dalam bahasa-bahasa itu dan nampaknya usaha itu sedikit berkesan. Dia kurang bertutur bahasa Mandarin atau Korea," katanya.

Suri rumah itu berkata anaknya yang sebelum ini berkelakuan agak kasar seperti lelaki, bersifat lemah lembut dan lebih menghormati orang dewasa selepas kemalangan itu. Kini dia lebih berminat meminum air soya dan tidak lagi menggemari budu atau mengenali petai seperti yang disukainya sebelum ini, kata ibu itu.

Noraini adalah pelajar Tingkatan Lima jurusan Pendidikan Seni Visual (PSV) SMK Nasiruddin Shah, di sini. Dalam kerjadian 10 Januari lalu Noraini membonceng motosikal yang dikendali abangnya Jefri apabila dilanggar sebuah lori dari belakang di persimpangan lampu isyarat Alor Lintang kira-kira pukul 2.30 petang.

Disebabkan kemalangan itu Noraini terjatuh dan kepalanya terhantuk ke jalan raya. Akibat kemalangan itu gadis itu koma selama 11 jam dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (KUSM) Kubang Kerian, Kelantan sebelum dibenarkan pulang apabila sedar tiga hari kemudian.

Noraini sekali lagi dikejarkan ke HUSM pada hari kelima selepas kemalangan setelah tidak mampu bercakap dan mengadu sakit kepala. Semasa rawatan kali kedua itu Noraini tiba-tiba boleh bertutur bahasa asing.

Sementara itu Noraini berkata dia telah pergi ke HUSM, Kubang Kerian semalam bersama ibunya bagi mendapatkan rawatan lanjutan dan telah bertemu dengan Dr Azwani Che Yusof dari Klinik Psikiatri (Bahagian Pertuturan).

Katanya, Dr Azwani memberitahunya kejadian ke atas dirinya itu mungkin mengambil masa lama untuk pulih kerana saluran percakapannya terganggu akibat terhentak di bahagian kepala dalam kemalangan itu. Menurut Noraini, kemalangan itu merupakan kali ketiga terjadi padanya.

Sebelum itu dia pernah terjatuh semasa menunggang motosikal bersama seorang rakannya di Kubang Ikan dan sekali lagi ketika menunggang bersama adiknya di satu selekoh dekat Gong Kepas. "Saya belum boleh bercakap bahasa Melayu loghat Kelantan seperti sebelum ini walaupun telah mencuba, tetapi kalau saya cuba kepala akan berasa sakit," katanya.

Ketika diminta pemberita untuk bercakap dalam bahasa Korea atau bahasa Mandarin, Noraini berkata kebolehan itu hanya diperolehi secara spontan terutamanya apabila bangun dari tidur pada sebelah pagi. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails