VVIP DENAI CINTA

13 Jun 2012

Bakal Menantu Najib Razak Terbabit Penipuan AS$20 Juta?

Lepas satu, satu demi satu skandal lain pula muncul... Sekian banyak skandal melibatkan Perdana Menteri Malaysia ini. Kalaulah skandal-skandal ini terjadi kepada Perdana Menteri negara lain, rasanya awal-awal lagi mereka akan meletakkan jawatan demi menjaga maruah parti yang diwakili dan yang lebih utamanya untuk menjaga maruah negara tercinta.
 
Adakah Najib Mahu Pasti Menantu Tidak Bermasalah?Oleh : Ustaz Riduan Mohd Nor, 12 Jun 2012
 
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa dukacita dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan bahawa bakal menantunya Daniyar Nazarbayev terlibat dengan penipuan. Ini ekoran pendedahan dokumen oleh mahkamah Amerika Syarikat mengenai Daniyar yang didakwa menipu bapa tirinya seunit kondominium bernilai AS$20 juta (RM62 juta) dan memasuki Universiti Columbia menggunakan dokumen palsu.
 
Jika benar dakwaan ini, DPPM merasa sedih kerana PM Malaysia begitu banyak diaibkan di peringkat antarabangsa. Sudahlah diri beliau dikaitkan dengan skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM 3.1 bilion ringgit, bakal menantunya pula kini dituduh menipu.
 
Seolah-olah PM Malaysia mempunyai terlalu ramai musuh dari dalam dan luar negara dan semua pihak yang memusuhinya mahu sangat beliau tersungkur jatuh sebelum PRU ke 13 sehingakan satu demi satu masalah peribadi beliau dan ahli keluarganya dibongkarkan.
 
DPPM merasakan Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri yang paling banyak mencipta kontroversi peribadi terutama dalam keluarganya. Seperti perumpamaan Melayu, ‘bapa borek, anak rintik’, beliau seperti turut mengheret sama ahli keluarga beliau dalam pelbagai skandal yang dihadapinya.
 
DPPM juga meminta supaya PM berhati-hati dalam segenap aspek kerana dirinya dan keluarganya sentiasa menjadi fokus media dan pengamal politik. Jangan pula nanti, banyak lagi pekung yang terdedah melibatkan peribadi beliau dan ahli keluarganya. DPPM tidak berharap, beliau dijatuhkan kerana isu-isu remeh dan peribadi yang disebabkan kegagalan beliau mengawal kehidupan keluarganya.
 
Justeru, DPPM menasihatkan PM supaya menyiasat dengan teliti latar belakang bakal menantunya supaya beliau tidak menyesal di kemudian hari. Ini menepati dengan kehendak syariat Islam yang meminta ibu bapa bersikap teliti dalam memilih pasangan hidup anak-anak mereka.
 
Dalam keadaan belum diijabkabulkan, bakal menantunya sudah menghadapi pelbagai dakwaan, adakah Datuk Seri Najib mampu memastikan menantu beliau tidak bermasalah dan mampu memberikan kebahagiaan kepada anaknya selepas perkahwinan mereka nanti.
 
DPPM percaya, Pakatan Rakyat akan berpolitik secara sihat dan matang dan akan menentang beliau dalam PRU ke 13 dengan penuh maruah, bukan secara politik kotor yang mengaibkan peribadi beliau sebagaimana yang dilakukan pemimpin parti beliau terhadap pemimpin Pakatan Rakyat seperti yang berlaku sekarang.
 
Riduan ialah Ketua Penerangan DPPM

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails