VVIP DENAI CINTA

16 September 2011

Kes Sosilawati : 2 Tertuduh Berhubung Melalui Telefon Bimbit Pada Malam Pembunuhan

SHAH ALAM, 15 Sept : Mahkamah Tinggi di sini Khamis diberitahu dua talian nombor telefon bimbit yang didaftarkan atas nama dua tertuduh dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, saling berhubungan pada malam kejadian bunuh itu. Pengurus Besar Bahagian Bil Celcom Axiata Bhd, Abdul Latif Mohamed berkata berdasarkan rekod panggilan, menunjukkan talian tersebut yang didaftarkan atas nama R Matan dan K Kathavarayan digunakan di kawasan Banting.

"Rekod panggilan menunjukkan transaksi penerimaan panggilan masuk dan keluar serta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dipancarkan melalui sistem pemancar Batu Laut di Banting ialah pada pukul 8.30 malam, 30 Ogos 2010," katanya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimul Azami.

Beliau turut menjelaskan talian telefon bimbit atas nama Kathavarayan menunjukkan tertuduh (Kathavarayan) ada berkomunikasi dengan seorang lagi tertuduh iaitu N Pathamanabhan, beberapa kali pada malam yang sama.

Abdul Latif, 44, saksi ke-42 pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam, N Pathmanabhan, bersama tiga pekerja ladangnya, T Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh kesemua mangsa di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Ketika soal balas oleh peguam Manjeet Singh Dillon, Abdul Latif memberitahu bahawa rekod transaksi panggilan itu ditunjukkan kepadanya oleh seorang anggota polis. Seorang lagi saksi, Hazli Bahrudin, 33, pengurus di syarikat telekomunikasi Celcom berkata beliau ada menyerahkan salah satu nombor telefon bimbit miliknya kepada Ahmad Kamil (seorang daripada mangsa bunuh) sebab kepercayaannya sebagai kawan rapat.

Katanya beliau memberikan telefon itu yang didaftarkan atas namanya pada tahun 2001 kerana Ahmad Kamil ketika itu masih belajar dan tidak perlu membayar caj perkhidmatan. Beliau berkata antara keistimewaan bekerja di syarikat itu ialah pekerja boleh memberi nombor telefon kepada kawan atau ahli keluarga selepas didaftarkan atas nama pekerja berkenaan.

Saksi pendakwaan ke-43, Ainul Salmi Salim berkata tiada aduan diterima daripada penduduk apartmen di Subang Jaya berhubung kereta nombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil yang telah ditinggalkan di situ selama seminggu sejak 30 Ogos 2010.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu berkata pihaknya juga tidak menerima aduan mengenai cara kenderaan itu diletakkan secara melintang dalam dua petak tempat letak kenderaan di kawasan perumahan itu.

Katanya pihak MPSJ tidak mengenakan sebarang kompaun terhadap kenderaan tersebut yang diletakkan pada petak nombor 125 yang juga dikatakan tiada pelekat menunjukkan penghuni kawasan tersebut. Perbicaraan di hadapan Hakim Akhtar Tahir bersambung Khamis ini. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails