VVIP DENAI CINTA

23 September 2011

Kes Sosilawati : Nombor Telefon Bimbit Milik Syarikat Pathmanabhan Digunakan Di Subang Jaya

SHAH ALAM, 23 Sept : Mahkamah Tinggi Jumaat diberitahu bahawa nombor telefon bimbit yang didaftarkan atas nama syarikat guaman milik N Pathmanabhan ada digunakan di Subang Jaya pada malam kejadian jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain mati dibunuh, 30 Ogos tahun lalu.

Pakar teknologi Maxis Mobile Sdn Bhd, Ahmad Safuan Shaharani, 32, memberitahu mahkamah berdasarkan bil terperinci yang dikemukakan menunjukkan bahawa nombor talian tersebut digunakan untuk menerima dan membuat beberapa panggilan.

Ahmad Safuan berkata nombor tersebut yang didaftarkan iaitu 012-2051243 menunjukkan berlaku transaksi pada 10.26 malam, 30 Ogos 2010 apabila pemilik nombor itu menerima panggilan daripada satu nombor tidak dikenali.

Dalam keterangan sebelum ini mahkamah diberitahu Subang Jaya adalah lokasi di mana dua buah kereta milik mangsa pembunuhan itu ditemui iaitu kereta BMW milik Ahmad Kamil Abdul Karim di Jalan SS12/1B, Subang Jaya manakala kereta BMW X5 berwarna hitam milik Sosilawati ditemui di Seksyen 15.

Penemuan kenderaan itu ialah selepas seorang penduduk flat di Subang Jaya melihat kereta BMW X5 berwarna hitam yang digunakan oleh Sosilawati pada hari beliau dilaporkan hilang dipercayai dibunuh.

Beliau berkata berdasarkan dokumen itu juga menunjukkan nombor telefon iaitu 012-2222541 yang didaftarkan atas nama Sosilawati telah menghantar mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada nombor yang tidak diketahui melalui stesen pemancar Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berdekatan Jalan Johan Setia, Klang di sini.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Nor Azimul Azami Mohamad Nor, beliau berkata anak perempuan sulung Sosilawati, Erni Dekritawati membuat panggilan kepada talian ibunya dan seorang lagi mangsa iaitu Noorhisham.

Ahmad Safuan merupakan saksi ke-46 pendakwaan yang memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam, N Pathmanabhan, bersama tiga pekerja ladangnya, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh kesemua mangsa di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung esok. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails