VVIP DENAI CINTA

01 Disember 2010

Aminulrasyid Teringat Ibu Ketika Dikejar Polis, Kata Rakan

SHAH ALAM, 30 Nov : Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari Selasa bahawa Aminulrasyid Amzah, remaja lelaki yang mati ditembak pada 26 April lepas, teringatkan ibunya ketika kereta yang dipandu dikejar kereta peronda polis. Mohd Zubir Salleh, 15, berkata perkara itu diceritakan rakannya, Muhammad Azamuddin Omar yang berada dalam kereta dipandu Aminulrasyid, 15, ketika mereka berada dalam tandas di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 11 di sini, beberapa jam selepas kejadian.

"Azamuddin memberitahu dia dan Aminulrasyid telah dikejar polis, dan polis mula lepaskan tembakan bermula di stesen minyak. Azamuddin juga beritahu, Aminurasyid ketika itu nak jumpa dengan mak dia, dan Azamuddin beritahu dia larikan diri selepas disepak," katanya pada perbicaraan Koperal Jenain Subi, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lepas.

Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya. Terdahulu, Mohd Zubir berkata beliau terserempak dengan Azamuddin di luar pagar sekolah kira-kira 7.20 pagi dan rakannya itu kelihatan takut seperti bermasalah.

Saksi ke-35 pendakwaan itu berkata, Azamuddin kemudian meminta beliau mengumpulkan rakan mereka di tandas sekolah sebelum memaklumkan bahawa Aminulrasyid telah meninggal dunia. "Azamuddin menceritakan mengenai kejadian itu kepada kami tidak sampai 10 minit, dan selebihnya hanya tangisan yang lama," katanya.

Beliau berkata Azamuddin turut meminta beliau menyimpan sebuah beg plastik berisi kemeja T serta seluar pendek yang dipakainya pada hari kejadian, dan beliau kemudian menyorokkan barang-barang itu di lorong berdekatan rumahnya. Katanya, beg plastik itu telah diambil oleh anggota polis forensik yang datang ke rumahnya pada awal pagi 27 April lepas.

Mohd Zubir berkata beliau pernah melihat Aminulrasyid memandu kereta milik abangnya di kawasan perumahan tersebut. Ketika ditanya sama ada beliau pernah menegur mangsa kerana memandu kereta tanpa lesen, saksi itu menjawab: "Saya pun tidak ada lesen" menyebabkan mereka yang hadir ketawa. Hakim Latifah Mohd Tahar kemudian menasihati saksi itu supaya tidak memandu kereta tanpa lesen kerana ia menyalahi undang-undang.

Seorang lagi saksi, R Lokman Hakim R Daly, 23, penunggang motosikal yang mengejar kereta yang dipandu Aminulrasyid pada hari kejadian berkata mangsa dilihat memandu kereta seperti orang yang berpengalaman. Ketika diminta menerangkan maksudnya, Lokman Hakim berkata: "Dia (pemandu) boleh pandu laju dan boleh bawa kereta secara zig-zag untuk elak kereta-kereta lain semasa di lampu isyarat."

Perbicaraan disambung 6 Dis ini.

KLIK UNTUK BERITA BERKAITAN : KAWAN SEKOLAH AKUI SEMBUNYIKAN BAJU BERDARAH

3 ulasan:

ika~~ berkata...

sedihnya :(

LoVe is CiNta berkata...

mesti ade kisah camni sblm eksiden..harap itu bkn politik la ...peace

Rohaifi Azri berkata...

Anak-anak seusia Amin, pastinya dalam situasi terdesak sebegitu akan teringatkan ibunya... Wallahu a'lam. Semoga kes ini menjadi iktibar buat semua...

Related Posts with Thumbnails