VVIP DENAI CINTA

11 Oktober 2011

Kanak-Kanak & Remaja Malaysia Layari Internet 19 Jam Seminggu

KUALA LUMPUR, 11 Okt : Kanak-kanak dan remaja Malaysia yang berusia lapan hingga 18 tahun didapati melayari internet pada purata 19 jam seminggu, menyebabkan mereka sentiasa terdedah kepada ancaman atau budaya negatif dunia siber seperti buli, penipuan identiti dan pornografi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata berdasarkan laporan antarabangsa, Norton Online Family Report 2010, hanya 4 daripada 10 ibu bapa di negara ini yang mengawasi kandungan laman yang diakses oleh anak mereka.

Oleh yang demikian adalah amat penting bagi ibu bapa memberi lebih perhatian kepada anak-anak dengan turut mengawasi laman web yang diakses mereka, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai perlindungan kanak-kanak "Child Online Protection" di sini hari ini.

Shahrizat berkata kaji selidik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan kadar penembusan internet di negara ini mencatatkan 60 peratus daripada 28.6 juta jumlah penduduk Malaysia pada 2010, dan ia dijangka meningkat sehingga 70 peratus menjelang 2015.

"Senario ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin 'IT savvy' setanding dan konsisten dengan trend antarabangsa, dan kebarangkalian pengguna IT terdedah kepada ancaman dunia siber semakin tinggi termasuk kanak-kanak," katanya.

Berikutan kebimbangan mengenai ancaman siber terhadap kanak-kanak dan remaja, katanya kementerian dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelajaran, SKMM, Polis DiRaja Malaysia, CyberSecurity Malaysia dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef) menganjurkan seminar hari ini bagi membincangkan rangka kerja dasar dan perundangan untuk melindungi mereka.

Menurutnya langkah itu susulan persetujuan Malaysia menyertai Protokol Pilihan Kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) iaitu perlindungan penjualan, pelacuran dan pornografi kanak-kanak pada September lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Prof Datuk Husin Jazri berkata CyberSecurity Malaysia menerima 11,930 insiden keselamatan siber pada Januari hingga September tahun ini dengan 4,175 daripadanya melibatkan penipuan. Beliau berkata jumlah itu meningkat 130 peratus berbanding 2010.

Bagi insiden keselamatan siber lain, beliau berkata spam mencatatkan 3,452 kes, pencerobohan (2,345), kod berbahaya (867), percubaan menceroboh (525), gangguan siber (354) dan kesalahan berkaitan kandungan (48).

"Pertambahan insiden keselamatan siber berkait rapat dengan peningkatan kadar penggunaan Internet yang menyaksikan pengguna Internet di seluruh negara kini berjumlah 17 juta orang. Jumlah ini terus meningkat kerana disokong oleh pembangunan pesat prasarana jalur lebar," katanya. - Bernama

1 ulasan:

Pondok Usang berkata...

kene control nii.. takut surfing benda lain..

Related Posts with Thumbnails