VVIP DENAI CINTA

14 Julai 2012

ANAK KELANTAN JUARA TILAWAH ANTARABANGSA

 


JUARA TILAWAH JADI INSPIRASI ANAK KELANTAN
KOTA BHARU, 14 Julai : Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengucapkan tahniah kepada anak jati Kelantan, Muhammad Anuar Ghazali (gambar kiri) yang telah memenangi tempat pertama di dalam pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 tahun 1433H.

Menulis di laman Facebook beliau, Nik Aziz berharap kejayaan Ustaz Muhamad Anuar akan menjadi inspirasi kepada seluruh anak Kelantan khususnya dan rakyat Malaysia keseluruhannya untuk terus mendalami ilmu tarannum al-Quran dan mengamalkan isi kandungan al-Quran di dalam kehidupan. 

"Semoga kejayaan beliau menjadi inspirasi kepada seluruh anak Kelantan khususnya dan rakyat Malaysia keseluruhannya untuk terus mendalami ilmu tarannum al-Quran dan mengamalkan isi kandungan al-Quran di dalam kehidupan.. tahniah!" tulis beliau. 

Muhammad Anuar Ghazali, 36, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara kategori qari di Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berakhir malam tadi. 

Muhammad Anuar memperdengarkan bacaan Surah al-Hud, memperoleh markah 95.33 peratus. mengalahkan qari Iran Amin Pouya dengan 91.67 peratus dan qari Indonesia menerusi Raden Harmoko Baharudin (90.16 peratus).

Bagi kategori qariah (wanita) dimenangi peserta Maghribi Hasnae Khoulali, 19, yang memperdengarkan bacaan Surah al-Israk memperoleh 94 peratus sama seperti markah yang diperoleh naib johan dan pemenang ketiga. 

Hasnae menewaskan qariah Indonesia, Rahmawati Bakri Hunawa dan qariah Malaysia, Che Aminah Che Awang menerusi cara bacaan, tajwid, kefasihan serta suara dalam menentukan perkiraan markah mereka. 

Penyampaian hadiah kepada qari disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sementara Raja Permaisuri Agong pula kepada qariah. Juara mendapat hadiah wang tunai RM40,000 serta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan. - Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails