VVIP DENAI CINTA

21 Jun 2011

Saingan Warga Asing : Lelaki Pahang Ketandusan Cinta?


LELAKI PAHANG HADAPI SAINGAN CARI PASANGAN
KUANTAN : Negeri Pahang dijangka akan mengalami 'Marriage Squeeze' berikutan kehadiran golongan lelaki lebih ramai daripada wanita iaitu 113 lelaki berbanding 100 wanita pada 2010. Jumlah tersebut juga dikenal pasti melebihi paras nasional iaitu 105 lelaki berbanding 100 wanita.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, maklumat yang diperoleh berasaskan hasil Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke 4 dan Penemuan Awal Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010.

"Jika nisbah bilangan jantina tidak seimbang, ini boleh menyebabkan situasi 'Marriage Squeeze' iaitu kekurangan bilangan penduduk antara jantina dalam kumpulan umur perkahwinan tertentu untuk dijadikan pasangan hidup."

"Senario ini mungkin berlaku selepas penghijrahan keluar dari negeri Pahang secara selektif oleh wanita muda dalam umur perkahwinan dan dalam tempoh jangka panjang akan menyebabkan lelaki terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapat pasangan," katanya ketika memberi taklimat mengenai Dasar Keluarga Negara (DKN) kepada Majlis Tindakan Negeri Pahang, di Wisma Sri Pahang, semalam.

Saingan Warga Asing

Pahang merupakan negeri ketujuh yang telah mendapat taklimat DKN selepas Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Selangor, Kelantan dan Sarawak. Aminah berkata, bilangan warga asing di Pahang ini juga memberi implikasi daripada segi persaingan lelaki di Pahang untuk mendapatkan pasangan mahupun pekerjaan, sekali gus memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan.

"Melalui DKN ini diharapkan dapat membantu kerajaan negeri untuk mengambil kira perspektif keluarga dalam setiap peringkat perancangan dan pembangunan negeri ke arah memastikan matlamat memiliki modal insan berkualiti seperti yang digariskan dalam teras Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur."

"Ini termasuklah seperti mengkaji semula dasar-dasar dan peraturan yang tidak mesra keluarga di tempat kerja di samping memberi khidmat sokongan keluarga yang lebih komprehensif bagi membantu golongan produktif ini membina kehidupan lebih stabil," katanya.

Turut hadir dalam sesi taklimat tersebut, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mohammad Safian Ismail. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails