Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Beliau menjawap soalan lisan daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang meminta perdana menteri menyatakan jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah jumlah yang diluluskan mengikut negeri sepanjang sedekad yang lalu. Er juga memohon penjelasan kerajaan mengenai cara-cara yang diambil bagi menangani kes-kes gejala murtad itu.
Mengikut data yang dibekalkan, jumlah tertinggi yang diluluskan adalah dari Sabah iaitu seramai 67 orang dan diikuti dari Negeri Sembilan dengan 33 orang. Jumlah permohonan untuk meninggalkan Islam yang terbesar adalah di Sabah - 238, Negeri Sembilan - 172, Selangor - 99 dan Perak - 47. Tiada permohonan murtad dicatatkan di Kelantan.
"Dalam menangani gejala murtad, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa melasanakan program dan aktiviti bagi mengelakkan berlakunya gejala ini terutamnya di kalangan saudara-saudara baru."
"Antara program dan aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti khidmat nasihat; ziarah dan lawatan ke rumah; aktiviti-aktiviti pengukuhan agama; kelas pengajian agama; dan sokongan Baitulmal," kata Jamil. - Malaysiakini
1 ulasan:
tiada undang2 yang jelas dalam negara kita untuk mereka yang murtad... sememangnya khilafah islamiyyah perlu tertegak...!
Catat Ulasan