KUALA LUMPUR, 5 Mei: "Aminulrasyid adalah rakyat di Shah Alam, saya akan tetap mendedahkan segala bukti dan kenyataan saksi supaya dapat mengimbangi apa yang polis (serta) panel buat," tegas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Justeru, baginya panel lapan anggota yang ditubuhkan bagi menyiasat kes Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati ditembak polis adalah sandiwara Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mencantikkan siasatan polis.
Baginya, walaupun Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop menjelaskan bahawa panel tersebut mempunyai kuasa untuk memanggil saksi tetapi masih lagi berfungsi sebagai pemantau, bukannya badan siasatan yang bebas.
"Panel ini tetap sebagai 'badan pemantau' di mana walau sesiapa pun anggotanya, kerangka badan ini sekadar memantau siasatan yang dibuat oleh polis sendiri ke atas anggotanya. Akhirnya, panel terbabit hanya untuk mencantikkan laporan yang disiasat dalaman polis sendiri, sedangkan kematian Aminulrasyid ini bukan melibatkan polis sahaja (malah) orang awam," jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.
Keberadaan panel khas tersebut, menurut Khalid, akhirnya masih gagal mengakses gambaran menyeluruh berkaitan kes pembunuhan juvana terbabit kerana panel tersebut bergantung kepada dapatan serta siasatan polis.
"Dia (panel khas) tidak boleh rentas pada data asal atau saksi-saksi pelbagai yang memberi gambaran menyeluruh tentang kes bunuh tersebut kerana pemantauan yang dibuat hanya pada proses siasatan polis sahaja," jelas beliau.
Disebabkan itu, beliau mempersoalkan kuasa autonomi panel lapan anggota tersebut sama ada boleh merentasi siasatan serta bidang kuasa yang sedia ada pada polis atau sebaliknya.
Khalid berkata, KDN sepatutnya menerima cadangan umum sebelum ini, iaitu menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) atau panel khas tersebut mesti dilantik di bawah Parlimen Malaysia sendiri.
Malah, beliau turut mempertikai tindakan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar supaya tidak menghalang inisiatifnya mendapatkan sokongan sosial serta pembelaan bagi keluarga mangsa.
"Dia tak perlu menghalang keluarga mangsa, menuntut kebenaran untuk Aminulrasyid menggunakan media kerana dia tak ada hak untuk menghalang hak keluarga terbabit. Khalid berhak buat siasatan ke atas anggotanya, jangan sekat hak orang lain untuk dapatkan keadilan sosial di Malaysia," tegas beliau.
Melihat pada kaedah polis menyelesaikan kes pembunuhan juvana terbabit, beliau berkata, tidak ada banyak pilihan kecuali terus bertemu media dan masyarakat untuk mendedahkan bukti-bukti dan kesaksian saksi-saksi utama supaya dapat mengimbangi laporan siasatan yang dibuat oleh polis serta dipantau oleh panel khas terbabit.
Semalam, Abu Seman selaku Ketua Panel Khas mengumumkan Tun Haniff Omar (bekas Ketua Polis Negara), Datuk Denison Jayasooria (bekas Pesuruhjaya Suhakam), Kamal Affendi Hashim (penganalisis jenayah), Datuk Muhammad Shafee Abdullah (peguam terkemuka), Datuk Dr Michael Yeoh (Ketua Pegawai Eksekutif Asli) dan Profesor Abdul Halim Sidek (Naib Canselor UiTM). Manakala, Datuk Ahmad Fuad Aziz (Ketua Setiausaha KDN) turut dilantik sebagai pembantu Abu Seman.
Panel lapan anggota semalam turut dilaporkan melawat tempat kejadian di selekoh masuk Jalan Makyong, Seksyen 11/2G Shah Alam, iaitu berhampiran rumah arwah. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan