VVIP DENAI CINTA

05 Oktober 2009

FIKIR-FIKIR DAN RENUNG-RENUNGKANLAH BERSAMA

KEPADA SI PENERIMA DAN PEMBERI HANTARAN
"Sayang, tengok ni!!! Cantiknya Al-Quran ni. Warna keemasan. Sesuai untuk kita buat hantaran!!!" pekik Jamilah kepada Nabil. "Yang ni pun cantik juga... Warna unggu keemasan. Mana satu kita nak beli ni???!!!" balas Nabil.

Mereka sedang asyik mencari bahan-bahan untuk dibuat hantaran. Tinggal satu lagi yang masih dicari-cari iaitu Al-Quran yang bakal dijadikan hantaran. "Tapi, yang ni lagi best, ada terjemahan arab," keluh Jamilah. "Alaaa... Awak bukan reti pun bahasa arab," jawab Nabil. Tergelak Jamilah. Berbahagia rasanya dapat calon suami seperti Nabil. Prihatin.

"Apa yang saudara cari tu. Nampak seronok saya lihat," tegur pakcik berbaju putih. Jaluran baju ke bawah menampakkan lagi seri wajah seorang pakcik berusia lingkungan 40-an. "Oh, kami cari Al-Quran. Nak buat hantaran. Maklumlah, nak bina masjid," sengih Nabil. Jamilah ikut senyum tidak jauh dari situ.

"Oh. Baguslah. Anak ni selalu baca waktu bila?" pakcik menyoal sambil tersenyum. "Aaa... Aaa... lama dah saya tak baca.. pakcik," teragak-agak Nabil menjawab. Jamilah sudah di sebelah rak yang lain. "Kalau gitu, tak perlulah beli Al-Quran kalau sekadar hantaran. Kesian Al-Quran. Itu bukan kitab hiasan, nak." tegur pakcik berhemah.

"Alahh pakcik ni. Kacau daun pulak urusan orang muda. Kami beli ni nak baca la!" tiba-tiba Jamilah muncul dengan jawapan selambanya. "Oh, baguslah. Kalau gitu belilah tafsir Ar-Rahman. Ada tafsiran lagi," cadang pakcik. Mukanya nampak seperti orang-orang ahli masjid.

"Alaa... Besarlah pakcik. Kami nak pilih ni. Kiut lagi," senyum Jamilah mengangkat bungkusan Al-Quran warna unggu keemasan. Saiznya kecil. "Jangan lupa baca ya..." pesan pakcik dengan selamba sambil meninggalkan pasangan tersebut.

"Sibuk je la pakcik tu," Jamilah mengomel. Nabil kelihatan serba salah. Mungkin ‘terpukul’ dengan kata-kata seorang pakcik yang muncul secara tiba-tiba.

....................................

Hari yang dinantikan sudah tiba. Mereka sudah bersolek. Hari nan indah. Terlalu indah buat pasangan teruna dan dara yang bakal disatukan. Nabil dan Jamilah tidak sabar-sabar menantikan upacara indah tersebut.

Pak imam baru sahaja sampai. "Assalamualaikum semua," ucapan salam Pak Imam bergema. Nabil bagai hidup semula. Dirinya terkejut. Jantung bagai gugur serta merta. Mungkin tidak percaya apa yang dipandangnya di hadapan.

Ahli-ahli keluarga berebut-rebut bersalaman dengan Pak Imam. Mukanya berseri-seri. Janggutnya putih. Jubah putih. Rambutnya ada yang berwarna putih. "Inikah pengantin hari ini?" tegur selamba Ustaz Saad. "Pak Ustaz... Kabar baik, pak... usta... ustazz..." jawab Nabil mengigil. Jamilah juga terkebil-kebil melihat dan dia juga mengingati kelibat orang yang ditemuinya di kedai buku 2 bulan lalu.

"Oh! Sebelum tu, saya suka mendengar bacaan Al-Quran dari pengantin lelaki. Mudah-mudahan kita dapat mengambil manfaat dari bacaan pengantin," cadang Ustaz Saad. Kelihatan orang ramai mengiyakan. Maklumlah, ustaz Saad merupakan antara orang dikenali oleh ahli-ahli kariah sebagai penceramah tetap setiap hari Khamis selepas maghrib.

Nabil menelan air liur. Baginya inilah saat paling menyeramkan bagi dirinya... Peluh membasahi baju melayu satin berwarna putih. "Ss... su... surah apa ustaz?" Nabil cuba mengagahkan diri. Jamilah masih melihat dari tepi tirai. Memegang kepalanya. Seperti merasa sesuatu yang tidak kena berlaku kepada bakal suaminya Nabil.

"Oh, ayat yang mudah je! Baca 3 ayat dari Surah Ar-Ra'd," kata ustaz Saad sambil menunjukkan baris giginya yang putih hasil bersugi setiap solat mengikut sunnah nabi. "Surah Ar-Ra'd... Surah Ar-Ra'd ... Apa benda nih???!!!" detik hati Nabil.

"Bismillahirrahmaanirrahim... Alll... Maaa... Riii...!!!" berlagu Nabil membacanya. Gempar satu rumah pengantin perempuan. Ada yang keluar dari rumah menahan gelak. Ada yang mengeluarkan air mata menahan kelucuan. Ada yang menggeleng-geleng kepala. Ibu bapa Jamilah merah padam wajahnya. Jamilah entah ke mana, mungkin berpura-pura ke tandas.

"Baru ustaz tahu ada kalimah almari di dalam Al-Quran. Nabil, cara bacanya seperti begini : A'uzubillahiminnassyaitaanirra jiiim... Bismillahirrahmanirrahim... ALIF... LAMM... MIMMM... RAA..." kedengar suara gemersik Ustaz Saad. Orang ramai kelihatan ingin mendengar lebih banyak lagi alunan irama Al-Qurannya.

Nabil berasa seperti kilat menyambar kepalanya. "Nabil, kamu jangan merendah-rendahkan kitab petunjuk iaitu Al-Quran. Ia hendaklah dibaca bukan sekadar dijadikan hantaran. Malah lebih malang perlakuan seperti ini seolah-olah menghina Al-Quran."

"Beli Al-Quran kemudian letak di tempat-tempat tinggi seolah-olah ia sudah cukup bagi seorang muslim," tazkirah sudah bermula. Orang ramai memang senang cara penyampaian Ustaz Saad. "Tinggi mana pun kamu belajar, tiada gunanya kitab yang tidak berubah ini tidak mampu kamu baca. Kitab ini pasti begini rupanya, ayatnya tetap sama. Malah, ketahuilah Allah akan menjaganya sehingga hari kiamat."

"Nabil, kalau kamu tahu orang-orang yang mengaku kitab Al-Quran sebagai kitab petunjuk kemudian diabaikan dia pasti dilaknat oleh Al-Quran itu sendiri. Tetapi beruntungnya orang-orangnya memanfaatkan Al-Quran setiap hari, membacanya, menghafalnya, mengamalkan, menjadikan hati terlalu tenang walapun dia bukannya seorang yang tinggi pelajarannya, kaya hidupnya dan sebagainya..." penutup Ustaz Saad sudah dikagumi orang terutama yang mengikuti ceramahnya.

Hari semakin cepat berlalu. Nabil sudah melalui hari-hari yang indah. Kitab Al-QUran yang menjadi hantaran pertunangan sudah menjadi diari kehidupannya yang aktif setiap hari. Handphonenya berbunyi, ada SMS yang baru diterimanya, dia membuka SMS tersebut : "Jangan lupa datang rumah ustaz malam ni. Kita belajar sama-sama. Jangan lupa bawa isteri sekali ya Nabil." SMS dari ustaz Sa'ad tiba. Jamilah senyum di sisi suaminya, Nabil.

....................................

TAZKIRAH

Rasulullah SAW bersabda : Bila seseorang lelaki itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya, berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikapan, lelaki itu berada di antara kain kapan dan si mati. Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Mungkar dan Nakir, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah.

Tapi lelaki kacak itu berkata, "DIA ADALAH TEMANKU, DIA ADALAH KAWANKU. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga."

Selepas itu dia berpaling kepada temannya yang meninggal dan berkata, "Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih."

SELEPAS SOAL SIASAT SELESAI, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala'ul A'laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bauan kasturi.

Rasulullah SAW bersabda : DI HARI PENGADILAN, DI HADAPAN ALLAH, TIADA SYAFAAT YANG LEBIH BAIK DARJATNYA DARIPADA QURAN, MAHUPUN DARI NABI ATAU MALAIKAT.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails