VVIP DENAI CINTA

26 September 2009

PEGUAM MANOHARA TARIK DIRI KES SAMAN RM105juta!!!

MALAYSIAKINI.COM
25 SEPTEMBER 2009 - Firma guaman yang dilantik isteri dan ibu mentua Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra bagi mewakili mereka dalam kes saman fitnah, menfailkan permohonan untuk menarik diri menjadi peguam cara kepada mereka berdua.

Tetuan Fakrul Hisham Abdullah & Associates dalam permohonan saman dalam kamar juga memohon perintah mahkamah supaya semua prosiding writ saman yang dikemukakan Tengku Fakhry terhadap ibu mentuanya Daisy Fajarina dan isterinya Manohara Odelia Pinot digantung sementara, sehingga pendengaran dan keputusan permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur selesai. Tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar permohonan itu.

Turut disertakan dalam permohonan itu yang difailkan pada 9 Sept lepas di Mahkamah Tinggi Sivil ialah afidavit sokongan peguam Fakrul Rizal Abdul Manaf yang dilantik Daisy dan Manohara bagi mewakili mereka dalam kes saman fitnah RM105 juta yang difailkan Tengku Fakhry pada 20 Julai lepas.

Fakrul Rizal dalam afidavit sokongan yang diikrarkan pada 8 Sept lepas berkata bahawa Daisy dan Manohara telah melantik Faiz Adnan & Associates yang beralamat di Jalan Abdullah Off Jalan Bangsar dan Farhat Abbas & Rekan, pengacara dari Jakarta sebagai pengantara antara Tetuan Fakrul Hisham dan Daisy serta Manohara.

"Saya menegaskan defendan-defendan (Daisy dan Manohara) telah memberikan arahan bahawa apa-apa dokumen, pertanyaan, arahan atau permintaan daripada pihak kami hendaklah dibuat melalui pengantara tersebut," katanya.

Fakrul Rizal berkata bahawa Daisy dan Manohara telah memberi arahan kepada pengantara berkenaan bahawa mereka tidak akan datang ke negara ini untuk sebarang perbincangan di antara Tetuan Fakrul Hisham dan mereka. Beliau berkata bahawa tanpa arahan terus dan jelas daripada Daisy dan Manohara, beliau tidak dapat meneruskan sebarang tindakan terhadap mereka.

"Arahan yang diterima melalui pengantara tersebut tidak jelas dan tidak dapat dipastikan kesahannya yang boleh menjadikan setiap fakta yang diberikan oleh mereka melalui pengantara itu sebagai dengar cakap," katanya.

Fakrul Rizal berkata tindakan Daisy dan Manohara menggunakan pengantara berkenaan untuk berurusan dengan pihaknya menyebabkan firma guaman itu tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Daisy dan Manohara dan menyukarkan untuk membuat persediaan dokumen berkaitan kes itu.

Semalam, peguam Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Tengku Fakhry, berkata walaupun hampir sebulan diserahkan writ saman fitnah itu Daisy dan Manohara masih tidak memfailkan penyataan pembelaan bagi menjawab pernyataan tuntutan yang dikemukakan anakanda Sultan Kelantan itu.

Tengku Fakhry dalam pernyataan tuntutannya mendakwa pihak defendan telah secara palsu dan niat jahat melafazkan perkataan yang bersifat umpatan dan fitnah mengenai dakwaan penderaan seksual terhadap Manohara, semasa sidang akhbar antara April sehingga Jun lalu.

Ketika dihubungi hari ini Mohd Haaziq berkata sekiranya, Daisy dan Manohara masih tidak memasukkan pernyataan pembelaan, pihaknya akan memohon perintah mahkamah bagi mendapatkan penghakiman ingkar. BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails