VVIP DENAI CINTA

29 September 2010

'Saya Datang Ke Malaysia Bantu Siasatan Polis Dan Tidak Mempunyai Kepentingan Lain' - Usharani

BANTING, 28 Sept [Bernama] : S.Usharani, isteri kepada usahawan India, Allal Kanthan Muthuraja yang dilaporkan hilang di negara ini sejak awal tahun ini, berkata beliau datang ke Malaysia hanya untuk membantu siasatan polis berhubung kehilangan suaminya dan tidak mempunyai kepentingan lain. Beliau berkata buat setakat ini beliau hanya memberi keutamaan kepada kes tersebut dan tidak mahu tahu mengenai segala harta yang dimiliki oleh suaminya.

"Saya harap polis dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin agar saya dapat pulang ke Ramapuram, Chennai dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyambung keterangan berhubung kehilangan suaminya, selama sembilan jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini. Usharani, 24, tiba di IPD berkenaan pada pukul 9 pagi tadi bersama seorang lelaki yang tidak dikenali. Katanya beliau akan menyambung keterangannya kepada polis bagi tempoh dua hari lagi.

"Saya juga diminta datang balik ke Malaysia untuk menjadi saksi utama bagi memberi keterangan dalam kes ini jika suspek berkenaan didakwa di mahkamah," katanya. Beliau juga menafikan khabar angin kononnya ada pihak ketiga yang menaja tiket penerbangannya ke Malaysia dan mahu pihak media tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu. Sebelum ini, Usharani telah membuat laporan mengenai kehilangan suaminya pada 8 Sept lepas dan memberi keterangan berhubung perkara itu di IPD sama pada 23 Sept.

Terdahulu, empat wanita dan seorang lelaki yang dipercayai kakitangan yang bekerja di firma guaman milik suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dilihat memasuki premis berkenaan pada pukul 11.15 pagi tadi dengan diiringi oleh empat Pengawai Penyiasat polis bagi mengumpul bukti dan maklumat berhubung kes terbabit. Mereka kemudian meninggalkan premis berkenaan kira-kira pukul 12.50 tengah hari dengan membawa keluar beberapa ikatan fail yang diletakkan ke dalam tiga buah kenderaan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Ladang Gadong lokasi yang dipercayai lokasi pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya yang lain, mendapati tiada anggota polis berkawal di pintu masuk ladang itu seperti sebelum ini. Kawasan ladang juga dilihat lengang dan difahamkan juga tiada sebarang operasi dilakukan oleh anggota forensik polis hari ini bagi mencari bukti terbaru berhubung kes itu.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails