VVIP DENAI CINTA

29 September 2010

Peguam Negara Bimbang Siasatan Kes Sosilawati Diperbesar-besarkan

PUTRAJAYA, 28 Sept [Bernama] : Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail Selasa melahirkan kebimbangan berhubung kemungkinan siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, akan diperbesar-besarkan. Beliau berkata terdapat banyak kenyataan yang dibuat pelbagai pihak dalam kes itu, dan media sepatutnya melaporkan hanya fakta tanpa sebarang penambahan kerana ia mungkin menjejaskan kes berkenaan.

"Saya fikir ikut sahaja nasihat KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar). Bertenanglah dan biarkan kami lakukan tugas kami. Saya rasa pada masa yang betul dan apabila siasatan telah selesai, mereka akan memberi satu kenyataan yang wajar serta mendedahkan segalanya. Ketika itu, tiada sebarang masalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini. Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed.

Abdul Gani ditanya sama ada beliau melihat campur tangan pelbagai pihak yang tampil membuat kenyataan berhubung kes itu, termasuk keluarga ahli perniagaan India, akan menjejaskan siasatan kes pembunuhan itu.

Ahad lepas, Ismail mengingatkan media agar tidak menulis cerita berunsur spekulasi berhubung kes itu, sebaliknya menunggu pengesahan daripada polis. Peringatan itu dibuat berikutan laporan media bahawa dua kubur telah ditemui di ladang tempat Sosilawati dan tiga yang lain didakwa dibunuh.

Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamaruddin Shansudin, 44, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu, selepas mereka ke Banting, Selangor, untuk urusan penjualan tanah. Pada 13 Sept lepas polis mengesahkan kesemua mangsa telah dibunuh dan mayat mereka dibakar serta abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting.

Polis menemui tulang serta barangan lain dari sungai berkenaan dan telah menahan lapan suspek, termasuk dua adik beradik peguam, bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan kejam itu.

Ditanya jika Jabatan Peguam Negara boleh meyakinkan orang ramai bahawa akan ada satu keputusan di akhir siasatan kes berkenaan, Abdul Gani berkata: "Setahu saya, dalam semua siasatan, sesuatu akan berlaku iaitu sama ada kami dakwa atau tidak. Itu adalah sesuatu yang pasti," katanya.

Mengulas mengenai kertas siasatan kes berkenaan yang dikembalikan kepada polis, beliau berkata tidak ada tarikh akhir untuk penghantarannya. "Saya perlu menunggu mereka menghantarnya (kertas siasatan). Biar mereka siasat kes tersebut secara terperinci kerana ia membabitkan kepentingan awam."

"Terdapat banyak perkara yang perlu disiasat. Saya tidak boleh memberikan tarikh akhir kepada mereka, tetapi saya tahu mereka sedang bertungkus-lumus. Dan mereka akan memberikannya kepada saya secepat mungkin. Malah, saya bertemu dengan mereka hampir setiap hari," katanya.

Mengenai kawasan yang perlu disiasat semula, beliau berkata: "Banyak, tetapi saya tidak boleh memberitahu anda mengenai kelemahannya," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails