VVIP DENAI CINTA

20 September 2010

Polis Siasat Dakwaan Kematian Sarina Akibat Terkilan Kematian Sosilawati

GEORGE TOWN, 19 Sept [Bernama] : Polis akan menyiasat dakwaan yang kematian pengasas produk kecantikan jenama Aveer, Sarina Jaafar, di Permatang Pauh dekat sini semalam, akibat terkilan dan sedih dengan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya. Sarina, 45, dikatakan membunuh diri dengan menggantung diri di rumahnya di Taman Pauh Jaya.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata pihaknya akan menyiasat punca sebenar kematian itu termasuk dakwaan berkenaan. Beberapa akhbar melaporkan bahawa Sarina adalah kenalan rapat Sosilawati. "Polis (bagaimanapun) tidak menolak kemungkinan kes itu langsung tidak ada kena mengena dengan kes Sosilawati dan setakat ini belum ada bukti dan tanda-tanda yang melibatkan unsur 'foul play' (jenayah) dalam kes ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat mangsa dera dan rogol, seorang pembantu rumah warga Indonesia, di Hospital Pulau Pinang di sini, Ayub berkata pihaknya akan turut mengambil keterangan daripada anggota keluarga Sarina. "Setakat ini keterangan telah diambil secara lisan dari anak-anaknya," kata beliau.

Sarina yang mengusahakan perniagaan kosmetik selama lebih lima tahun lepas, ditemui mati tergantung oleh anak bongsunya berusia 16 tahun dan ketika kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumah.

...........................

Polis Siasat Kematian Sarina, Tentukan Kaitan Dengan Kes Sosilawati
KUALA LUMPUR, 19 Sept [Bernama] : Polis akan menyiasat kematian pengasas Aveer Cosmetics, Sarina Jaafar bagi memastikan sama ada kes tersebut berkait dengan pembunuhan rakan baiknya Datuk Sosilawati Lawiya. Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihaknya akan melihat kes yang berlaku di Pulau Pinang itu daripada semua sudut.

"Apa-apa yang kita dengar, yang berkaitan, kita akan siasat. Kita akan tentukan, bukan sahaja lihat dari satu sudut tapi semua sudut kita akan lihat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri, di Parlimen. Sarina, 45, ditemui mati dalam keadaan tergantung di bilik tidurnya di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Sabtu dan media melaporkan wanita itu ada memaklumkan kepada anggota keluarga tentang keinginannya menggantung diri.

Dia juga dilaporkan memberitahu keluarga berasa tertekan dan sedih dengan kejadian yang menimpa Sosilawati yang telah disahkan dibunuh bersama tiga individu lain, sebelum mayat mereka dibakar dan abu ditabur ke dalam sungai di Banting, Selangor.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails