VVIP DENAI CINTA

25 September 2010

Sosilawati Sahabat Baik Bantu Perjalanan Seni - Jamal

KUALA LUMPUR, 25 Sept [Bernama] : Raja Pop terkenal, Jamal Abdillah pada Sabtu berkata jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang mati dibunuh dengan kejam, merupakan sahabat baik yang banyak membantu dalam kerjaya seninya selama ini.

Malahan, sebelum ini ada perancangan di antara mereka untuk memasarkan satu produk kesihatan Jamal yang terbaru di stokis-stokis beliau dan mengikut perancangan, produk itu akan mula dipasarkan mulai Mei depan.

"Untuk menghasilkan produk ini bukan mudah, beliau banyak memberi idea dan bantuan pelaburan semasa penghasilan produk saya ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Rumah Pengasih, Bukit Tunku di sini, pada Sabtu. Jamal berkata kali terakhir beliau menemui Sosilawati ialah pada majlis hari lahir ke-25 anak jutawan itu Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi di Klang Julai lepas.

Walaupun dilihat hasrat ini seperti tidak kesampaian, Jamal masih berharap agar ideanya bersama Sosilawati dapat diteruskan, dan beliau akan menemui anak Sosilawati itu untuk berbincang. Sebelum ini, Sosilawati yang terkenal dengan sikap pemurahnya pernah menaja Konsert 'Jamal Kembara Seniman' melalui sumbangan RM25,000 pada 8 Sept tahun lepas di Istana Budaya.

Jamal, atau nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali, yang sedih dengan kehilangan sahabat baiknya itu berkata, Sosilawati adalah seorang yang senang didekati dan tidak sombong. Sosilawati, 47, bersama tiga yang lain dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah. Pada 12 Sept lepas polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor.

Pada majlis yang sama, Jamal yang merupakan bekas pelatih Rumah Pengasih empat tahun lepas berkata beliau sentiasa hadir pada hampir semua majlis anjuran persatuan ini. "Saya sentiasa komited untuk hadir pada semua majlis seperti ini, sekurang-kurangnya saya menjadi satu rujukan kepada pelatih-pelatih di sini supaya terus berusaha memperbaiki diri," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terbaru beliau, penyanyi bersuara emas itu berkata beliau sedang mengumpul lagu-lagu baru untuk album terbaru 'Raja Pop II' yang dijangka dikeluarkan sebelum Disember ini dan akan mengadakan konsert pada 7 hingga 10 Jan, 2011 di Istana Budaya."

Gambar dari website budiey.com

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails