VVIP DENAI CINTA

24 September 2010

Ketua Polis Negara Ulangi Janji Beri Perkhidmatan Terbaik

SUNGAI PETANI, 23 Sept [Bernama] : Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar mengulangi hasratnya mahu pasukan itu memberikan perkhidmatan terbaik, meminta semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengamalkan pendekatan lebih mesra dan ikhlas supaya mendapat kerjasama erat masyarakat.

"Mesej saya untuk memberikan perkhidmatan terbaik bagi memenuhi kehendak masyarakat mudah difahami walaupun sebenarnya ia sukar dilaksanakan kerana pelbagai faktor.
Faktor itu antaranya memerlukan pengorbanan, layanan mesra, tindakan pantas dan efisien setiap peringkat selaras dengan perkembangan ilmu dan teknologi," kata Ismail kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini.

Ismail berkata selaku KPN beliau lebih senang berurusan dengan pegawai dan anggota bawahan tanpa melibatkan banyak protokol kerana dapat mengurangkan tekanan di kalangan anggota bawahan di samping mudah menyampaikan hasrat atau visinya dengan lebih jelas.

Beliau berkata selaras dengan ikrarnya semasa mengambil alih tampuk pimpinan daripada Tan Sri Musa Hassan pada minggu lepas, Ismail mahukan semua pegawai dan anggota PDRM memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Pegawai dan anggota polis dinasihatkan mengamalkan pendekatan bekerja bersama masyarakat dengan menyertai pelbagai program anjuran bersama kedua-dua pihak, katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata PDRM sedang berusaha melangkah setapak ke hadapan dalam menghadapi cabaran lebih getir. Cabaran itu khususnya berkaitan dengan kemajuan dan kepantasan penyebaran maklumat dan komunikasi melalui medium canggih.

"Semua mesej dan berita menjadi laju, cepat. Apa yang ditakutkan ialah mesej yang disebarkan itu mungkin palsu, fitnah, tidak benar sehingga boleh cetus keamanan negara. Saya berjanji akan berusaha meningkatkan keberkesanan menghadapi cabaran ini termasuk memberikan tumpuan terhadap kemudahan logistik, peralatan dan melatih pegawai untuk lebih mahir dalam bidang berkaitan," tambah Ismail.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails