VVIP DENAI CINTA

22 September 2010

LAPORAN LENGKAP KES PEMBUNUHAN SIAP 2 MINGGU

Kertas Siasatan Kes Sosilawati Diserah Kepada Peguam Negara - Hishammuddin
KUALA LUMPUR, 21 Sept [Bernama] : Kertas siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain telah diserah kepada Pejabat Peguam Negara Selasa. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengesahkan perkara itu turut memberi jaminan bahawa laporan lengkap kes pembunuhan itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.


"Saya memang rasakan pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) sudah lakukan dengan cukup baik. Kerana dalam masa singkat bukan sahaja dapat kenalpasti tetapi juga menahan suspek. Saya juga dimaklumkan oleh Datuk Seri Bakri Zinin (Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman) bahawa kertas siasatan sudah diserah kepada Peguam Negara hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Media dan Facebook PDRM di Bukit Aman di sini. Hishammuddin berkata polis kini menunggu laporan DNA yang ada ketikanya mengambil masa sedikit untuk disiapkan. Bagaimanapun, tarikh dan tempoh untuk laporan lengkap itu telah ditetapkan iaitu dalam tempoh dua minggu lagi sebelum hasil siasatan lengkap kes itu diserah kepada Peguam Negara untuk proses pendakwaan, katanya.

Terdahulu di PUTRAJAYA, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah menemui Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail dipercayai bagi menyerahkan kertas siasatan itu. Ku dilihat memasuki pejabat Abdul Ghani pukul 11.45 pagi ini sebelum keluar kira-kira empat jam kemudian. Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditemui pemberita.

Ditanya mengenai pelbagai komen dan pendapat yang diberi melalui laman web sosial Facebook untuk membantu siasatan, Hishammuddin berkata semua pandangan diambil kira selagi ia tidak mengganggu siasatan. Beliau yang berpuashati dengan siasatan polis berhubung kes itu berharap kes pembunuhan itu akan dibawa ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

Terdahulu pada majlis itu Hishammuddin berkata penggunaan laman web sosial PDRM, www.facebook.com/pages/Polis-Diraja-Malaysia berfungsi sebagai saluran baru untuk masyarakat membuat aduan. Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab kementerian untuk mempelbagaikan kaedah dalam menyalurkan maklumat tepat bagi mengelak berlaku salah faham berhubung sesuatu kes di kalangan masyarakat.

"Ia penting untuk salurkan maklumat yang paling tepat sekali. Dengan ancaman baru (pemerdagangan manusia, keganasan, penyeludupan dadah dan jenayah siber) kaedah baru diwujudkan dengan menggunakan pendekatan di luar kotak," katanya. Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan timbalannya Datuk Hussin Ismail.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails