VVIP DENAI CINTA

07 Disember 2010

Saksi Utama Kes Kematian Aminulrasyid Dakwa Disepak Dan Dipukul Polis

SHAH ALAM, 6 Dis : Saksi utama dalam kes Aminulrasyid Amzah, remaja lelaki yang mati ditembak di kepala, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari Isnin bahawa beliau telah disepak dan dipukul oleh beberapa anggota polis semasa kejadian. Muhamad Azamuddin Omar, 15, rakan Aminulrasyid yang turut berada di dalam kereta dipandu mangsa semasa kejadian berkata, selepas kereta itu terbabas dan melanggar tembok sebuah rumah, beliau telah terjatuh ke dalam longkang melalui cermin tingkap sebelah kiri kereta yang retak.

"Selepas itu saya perasan polis dah kepung saya. Saya tidak serah diri tetapi terus baring dan saya perasan ada seorang anggota polis sepak kepala saya. Kira-kira tiga anggota polis pukul saya pada masa itu," katanya pada perbicaraan kes Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lepas. Jenain, 48, didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Muhamad Azamuddin berkata beliau kemudian dipegang oleh kira-kira tiga anggota polis sebelum berjaya melepaskan diri dan berlari ke arah Jalan Gamelan. "Saya tidak tahu macam mana saya boleh terlepas tetapi saya terus lari menghala ke aras Jalan Gamelan dan jalan itu berbukit. Masa itu saya rasa ada anggota polis ingin lepaskan tembakan ke arah saya kerana saya dengar dia beri arahan suruh saya berhenti dalam kiraan tiga tetapi saya terus lari."

"Saya tidak tahu sama ada dia nak tembak saya kerana semasa dalam kiraan ketiga, satu kereta peronda polis masuk ke Jalan Gamelan dan menghalang pandangan anggota polis itu," katanya. Muhamad Azamuddin berkata selepas tiba di rumahnya, beliau telah mencuci kemeja-t dan seluar pendek yang dipakai kerana tidak mahu terlibat dalam kejadian itu.

Terdahulu, mahkamah ditangguhkan kira-kira 10 minit untuk memberi peluang saksi itu bertenang selepas beliau dilihat berulang kali mengelap air mata dengan bajunya ketika ditunjukkan dua keping gambar Aminulrasyid untuk proses pengecaman.

Meneruskan keterangannya, Muhamad Azamuddin berkata, kereta dipandu Aminulrasyid telah dikejar oleh beberapa penunggang motosikal selepas mangsa terlanggar sebuah kereta di hadapan sebuah restoran di Seksyen 7 di sini semasa mereka dalam perjalanan untuk membantu seorang rakan yang mengalami masalah motor.

Saksi ke-29 pendakwaan itu berkata Aminulrasyid yang berasa takut kerana dikejar telah memandu laju sehingga ke Persiaran Dato' Menteri dan beliau kemudian terlihat salah seorang penunggang motosikal itu terjatuh di belakang kereta dipandu mangsa.

"Aminulrasyid takut kerana kami ingat kami telah buat orang jatuh. Aminulrasyid terus memandu hingga melanggar lampu isyarat di simpang empat depan kompleks PKNS dan telah memotong sebuah kereta peronda polis yang berada di sebelah kiri kami."

"Kereta peronda itu terus bunyikan siren dan kejar kami sehingga ke Seksyen 9 di mana saya perasan sebuah lagi kereta peronda polis kejar kami. Seterusnya Aminulrasyid memandu ke Bulatan Kayangan dan masuk ke Seksyen 11. Tiba di simpang masuk ke Jalan Tarian saya baru perasan ada tembakan sebab tayar meletup dan tergelincir tetapi Aminulrasyid dapat kawal kereta," katanya.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani bagaimana beliau mengetahui polis melepaskan tembakan, saksi itu berkata semasa menoleh ke belakang beliau ternampak percikan api dari kereta peronda polis dan beliau mendengar kira-kira 15 bunyi tembakan.

Seterusnya Muhamad Azamuddin berkata Aminulrasyid masih terus memandu sehingga ke sebuah simpang di hadapan Jalan Gamelan di mana mangsa tiba-tiba jatuh di atas ribanya.

"Mula-mula saya ingat Aminulrasyid buat-buat pengsan dan saya ingat dia main-main. Masa saya kejutkan Aminulrasyid saya terpegang kepala dia dan saya rasa macam ada darah dan kesan lubang di kepalanya. Semasa itu kereta terus berjalan dan saya dengar bunyi tembakan. Selepas itu kereta terus langgar tembok sebuah rumah," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung Rabu ini.

2 ulasan:

cengkerangcipot berkata...

perghh..
pnjang btul cerita..
bagi rakyat memang agak rumit utk menilai..
hurmm

Rohaifi Azri berkata...

betul tu bro... panjang......!!!!

Related Posts with Thumbnails