VVIP DENAI CINTA

10 Disember 2010

Kereta Aminulrasyid Ditembak Bertubi-tubi, Kata Saksi

SHAH ALAM, 9 Dis : Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah ditembak bertubi-tubi dari arah belakang. Konstabel Mohd Izham Mahayadin berkata sebelum itu, beliau bersama seorang lagi rakan setugasnya mengejar kereta yang dipandu mangsa dari Bulatan Kayangan sehingga ke Jalan Tarian, sebelum melepaskan beberapa tembakan ke arah tayar dan 'sport rim' bagi menghentikan kenderaan itu, yang dilihat berbahaya kepada pengguna jalan yang lain.

Beliau berkata kereta itu kemudian dilihat terhuyung-hayang namun masih mampu bergerak dengan kelajuan sederhana iaitu antara 60 hingga 70 kilometer sejam. "Saya telah menembak ke arah belakang kereta itu yang menyebabkan bahagian tayar kanan depan kempis... saya kemudian mengekori kereta itu dengan beranggapan kereta itu akan terbabas, dan untuk menangkap pemandu itu," katanya yang mengaku menghentikan tembakan ketika kereta Aminulrasyid membelok masuk ke Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11.

Bagaimanapun, Mohd Izham berkata beliau terkejut apabila mendengar bunyi tembakan dari arah belakang keretanya. "Saya terkejut kerana bunyinya kuat. Waktu itu tingkap kereta saya terbuka. Bunyi tembakan datang dari arah belakang. Saya tidak menyangka tembakan akan dilepaskan sebab kereta itu tidak akan berupaya pergi jauh dan pemandu itu tidak boleh melarikan diri lagi kerana tayar sudah pecah," katanya.

Beliau yang bertugas di cawangan kereta peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, memberi keterangan pada perbicaraan Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lepas. Jenain, 48, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Izham berkata selepas itu beliau menoleh ke belakang dan melihat sebuah kereta peronda "Selangor 614" berada di situ, namun tidak mengetahui siapa yang melepaskan tembakan atau siapa yang berada dalam kereta tersebut. Katanya, akibat tembakan bertubi-tubi itu, kereta yang dipandu mangsa telah terbabas sebelum melanggar tembok sebuah rumah di kawasan tersebut.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar mengenai tindakan yang akan diambilnya, Mohd Izham menjawab, "Jika saya berada dalam kedudukan itu, saya tidak akan lagi melepaskan tembakan kerana apa yang saya lihat kereta tersebut sudah lemah dan tidak boleh bertindak agresif lagi."

Saksi pendakwaan ke-28 itu juga mengaku tidak menerima sebarang arahan untuk melepaskan tembakan ke arah kereta yang dipandu mangsa, sebaliknya tindakan tersebut diambil atas inisiatif sendiri. "Tembakan dilepaskan di Bulatan Kayangan kerana dilihat posisi itu selamat dan kedudukan untuk menembak tayar adalah lebih dekat dan senang," katanya sambil menambah rakan Aminulrasyid iaitu Mohd Azamuddin Omar, yang berada bersama mangsa dalam kereta itu, berjaya melarikan diri.

Mohd Izham berkata beliau melihat Jenain melakukan pemeriksaan badan terhadap Aminulrasyid yang ketika itu berada dalam keadaan tertiarap. "Kemudian Jenain dilihat menghubungi bilik gerakan Shah Alam untuk memaklumkan kejadian yang berlaku dan meminta bantuan ambulans. Sementara itu saya dan Azhar terus memasang garisan kuning untuk melarang mana-mana orang daripada memasuki tempat kejadian," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung esok.


KLIK UNTUK BERITA BERKAITAN
Polis : Saya terkejut tembakan terus dilepaskan
Saksi: Kereta Aminulrasyid himpit kereta polis



Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails