VVIP DENAI CINTA

11 Disember 2010

Anggota Polis Nafi Berbohong Pada Perbicaraan Kes Aminulrasyid

SHAH ALAM, 10 Dis : Seorang anggota polis hari ini menafikan bahawa beliau berbohong semasa memberi keterangan pada perbicaraan kes Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati ditembak pada 26 April lepas. Konstabel Mohd Izham Mahayadin, 27, turut menafikan bahawa beliau mempunyai kepentingan untuk melindungi dirinya kerana turut melepaskan tembakan pada hari kejadian. Saksi ke-28 pendakwaan itu juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Salim Bashir yang mewakili Koperal Jenain Subi, bahawa beliau mungkin didakwa berhubung kejadian itu.

"Saya tidak bersetuju kerana saya tidak ada apa-apa kepentingan terhadap kes ini," katanya pada perbicaraan Jenain, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April. Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya.

Sebelum ini, keterangan di mahkamah mengesahkan bahawa Mohd Izham dan Jenain telah melepaskan tembakan pada hari kejadian. Pada prosiding hari ini, Mohd Izham berkata beliau meminta bantuan kereta peronda polis lain untuk menghentikan kenderaan yang dipandu Aminulrasyid, yang memperlihatkan pemanduan amat agresif.

"Sebelum ini, banyak kejar-mengejar tapi yang ini paling agresif. Kereta lain kalau laripun, tetap akan berhenti. Pada saya, mungkin kereta Iswara baru lepas lakukan jenayah seperti samun dan pecah rumah. Pada saya, kami ada hak untuk berhentikan kereta bila ia lakukan kesalahan," katanya.

Beliau bersetuju dengan cadangan peguam M Athimulan bahawa dalam keadaan seperti itu, kereta yang dipandu mangsa menjadi satu objek berbahaya, kerana jika tidak dihalang, ia mungkin mencederakan orang ramai di sepanjang jalan.

Mohd Izham juga bersetuju dengan cadangan Athimulan bahawa tembakan yang dilepaskan kedua-dua kereta peronda polis yang dinaiki beliau dan Jenain bukan bertujuan membunuh atau menganiaya seseorang, tetapi untuk menghentikan kereta yang dipandu mangsa serta membuat pemeriksaan.

Cadangan Athimulan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar dengan alasan ia tidak adil untuk saksi tersebut, yang dilihat seperti menjawab bagi pihak tertuduh. Hakim Latifah Mohd Tahar kemudian memutuskan bahawa keterangan saksi perlu merujuk kepada tugas anggota peronda polis secara am, dan bukan khusus kepada mana-mana individu.

Perbicaraan bersambung 14 Dis ini.


BERITA BERKAITAN

Kes Aminul: Peguam persoal keterangan saksi



Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails