VVIP DENAI CINTA

21 September 2010

Dua Suspek Bunuh Sosilawati Dibatal Lesen Guaman Sejak 2009

KUALA LUMPUR, 21 Sept [Bernama] : Lesen amalan guaman dua peguam yang menjadi suspek kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain telah digantung dan dilucutkan keahlian bermula 5 Nov tahun lepas, kata Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan. Beliau berkata pembatalan itu dibuat setelah Majlis Peguam membuat siasatan berhubung salah laku keduanya yang merupakan adik-beradik tetapi mereka telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini untuk membuat penangguhan ke atas pembatalan itu.

"Berikutan kebenaran permohonan pembatalan itu mereka masih meneruskan amalan sebagai peguam," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa. Ragunath berkata setiap peguam yang didapati terlibat dalam penyelewengan akaun anak guam, rasuah dan lain-lain kesalahan berat akan dibatalkan lesen amalan mereka serta-merta setelah siasatan dibuat iaitu membabitkan 30 peguam sejak lima tahun lepas.

Katanya jumlah itu adalah terlalu kecil kerana ia hanya melibatkan 0.02 peratus peguam yang menjadi ahli majlis tersebut tetapi sebagai pertubuhan profesional, beliau tetap mengambil berat dengan setiap salah laku yang dibuat oleh ahlinya.

Berikutan itu juga Ragunath berkata Majlis Peguam memutuskan untuk tidak mewakili dua peguam terbabit dalam sebarang siasatan dan ketika dibicarakan tetapi keduanya boleh melantik mana-mana peguam lain yang berdaftar sebagai ahli.
"Kami tidak akan membela mana-mana ahli kami yang terlibat dalam jenayah. Kami mohon tindakan tegas dikenakan ke atas ahli kami yang terlibat dengan jenayah," tegasnya.

Ditanya pemberita mengenai bidang kuasa Majlis Peguam Ragunath berkata: "Bidang tugas kami adalah terhad sebagaimana badan profesional yang lain dan kami hanya berkuasa untuk selia amalan guaman. Kami tidak boleh kawal akaun bank peribadi mereka. Jika mereka terlibat dalam perniagaan persendirian, kami tiada kuasa untuk menyelia."


Ragunath turut merujuk kenyataan salah satu akhbar arus perdana hari ini yang mempersoalkan ketelusan Majlis Peguam berkaitan lesen guaman dan beliau berkata pihaknya tidak dapat menghidu salah laku peguam terbabit kerana mereka tidak mempunyai kuasa seperti pihak polis.


"Tidak adil untuk menyalahkan kami, bagaimanapun kami mengambil sikap terbuka dengan sebarang kritikan. Tindakan yang kami ambil adalah dengan menghantar surat kepada Ketua Polis Negara untuk bermesyuarat bagi memantapkan lagi kerjasama. Sekiranya mereka perlukan maklumat, peguam kami akan beri bantuan," katanya.


Tambahnya dalam isu perolehan kekayaan peguam yang luar biasa, Majlis Peguam terpaksa menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa lain seperti Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis kerana ia berada dalam bidang kuasa mereka.


Terdahulu beliau mengucapkan takziah kepada kesemua keluarga mangsa pembunuhan itu, termasuk ahlinya Ahmad Kamil Abdul Karim dan berharap kesemua suspek akan dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin.


Beliau bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu cepat menjatuhkan hukuman kerana kesemua suspek berhak mendapat pembelaan sewajarnya dan walau sekeji manapun perbuatan mereka biarlah mahkamah yang menentukan mereka bersalah atau sebaliknya.


Ahmad Kamil, 32, adalah antara yang dibunuh bersama Sosilawati, 47, pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38.


Mereka dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah dan pada 12 Sept lepas polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayatnya dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor.


Ragunath turut menasihati orang ramai menyelidik terlebih dahulu kelayakan peguam menerusi laman web atau hubungi mereka sebelum berurusan dengan mana-mana peguam dan Majlis Peguam bersedia menerima sebarang laporan sekiranya terdapat salah laku yang dibuat ahlinya.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails