VVIP DENAI CINTA

06 Mac 2012

MAUT Rempuh Babi Hutan

Gambar dari facebook SINAR HARIAN

JERTIH : Perubahan sikap seorang wanita yang secara tiba-tiba menjadi pendiam bagaikan petanda bahawa dia akan meninggalkan mereka untuk selamanya apabila maut selepas kereta dipandu suaminya merempuh seekor babi hutan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kampung Anak Ikan, Kilometer 86, Jalan Jertih-Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi, Noor Azira Md Nayan, 24, maut selepas kereta dipandu suaminya, Che Mohd Azmil Che Hassan, 24, gagal mengelak seekor babi yang tiba-tiba melintas jalan di tempat kejadian dan merempuh haiwan berkenaan sebelum berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Kelisa dipandu Marzita Mat Yahya, 31, dari arah bertentangan. Noor Azira meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah di kepala manakala suaminya dan Marzita dirawat di Hospital Besut kerana cedera pada tubuh.

Kakak ipar Noor Azira, Hairul Suzana Che Hassan, 30, berkata mangsa dan suaminya baru pulang daripada bercuti di rumah keluarga wanita berkenaan di Sungai Petani, Kedah dan singgah bermalam di rumah bapanya di Kampung Kepala Gajah, Renik, di sini, sebelum bertolak ke Kuala Terengganu awal pagi semalam. Menurutnya, pasangan suami isteri berkenaan yang masih belum mempunyai cahaya mata menetap di Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Katanya, arwah biasanya periang dan peramah tetapi ketika hendak meninggalkan rumah, dia bersikap pelik apabila berubah menjadi pendiam dan kelihatan muram. "Adik ipar tidak banyak bercakap ketika dia bersama suaminya meninggalkan kami di rumah ayah pada jam 6 pagi untuk pergi ke tempat kerjanya di Kuala Terengganu. Saya tidak tahu kenapa dia bersikap begitu manakala suaminya pula ceria seperti biasa. Kami terkejut apabila dimaklumkan rakan bahawa mereka berdua terbabit dalam kemalangan yang berlaku kira-kira 10 kilometer dari rumah ayah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, Che Mohd Azmil pernah dua kali terbabit dalam kemalangan sebelum ini bagaimanapun ketika kedua-dua kejadian, dia memandu berseorangan. "Mereka berdua sering pulang menemui keluarga di Kampung Kepala Gajah setiap kali cuti hujung minggu," katanya. Hairul Suzana berkata, ketika kejadian Che Mohd Azmil dalam perjalanan menghantar arwah yang bekerja sebagai guru ke tempat kerjanya di Amanah Ikhtiar Malaysia, Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, ketika kejadian, suami mangsa dikatakan terkejut apabila melihat seekor babi hutan tiba-tiba keluar dari semak di sebelah kiri jalan dan dia cuba untuk mengelaknya. "Dia gagal mengelakkan babi itu lalu terbabas ke laluan sebelah kanan sebelum bertembung dengan sebuah kereta dari arah Kuala Terengganu," katanya. - HARIAN METRO

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails