VVIP DENAI CINTA

14 Julai 2011

Anjing Pengesan Mayat 'Cadaver Dogs' Dan Jengkaut Digunakan Polis

SHAH ALAM, 14 Julai : Mahkamah Tinggi di sini Khamis diberitahu bahawa polis menggunakan khidmat anjing terlatih untuk mengesan mayat semasa menjalankan siasatan di sebuah ladang di Kuala Langat, Banting, yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Supt Denis Leong Sung Kuai, 49, pegawai staf dari Unit Siasatan Khas, Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, berkata khidmat unit anjing pengesan digunakan selepas pasukannya gagal menemui kesemua mangsa di ladang itu pada 9 Sept 2010.

"Selepas kami gagal temui Datuk Sosilawati dan tiga rakannya kami gunakan khidmat 'cadaver dogs' iaitu anjing yang dilatih untuk mengesan bau mayat bagi membantu mengesan sama ada terdapat mayat ditanam di kawasan ladang itu."

"Apabila pengendali anjing melihat reaksi anjing seperti menghidu sesuatu, kami mula menggali. Bagaimanapun kami tidak menemui mayat atau tulang manusia pada masa itu," katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff pada hari kesembilan perbicaraan kes itu.

Bekas peguam, N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, R Matan dan R Khatavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos, 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketika disoal balas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh ketiga, Matan, Leong yang merupakan saksi ke-27 pendakwaan berkata siasatan pasukannya pada 10 dan 11 Sept 2010 juga tidak menemui mayat atau tulang manusia di ladang tersebut.

Menjawab soalan daripada peguam Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh kedua, Thilaiyagan, saksi itu berkata siasatan di ladang itu pada 9 Sept 2010 turut menggunakan khidmat jengkaut bagi mencari bahan-bahan bukti.

"Jengkaut membuat kerja-kerja menggali di kawasan hadapan ladang di sebelah kiri, di kawasan rumah kayu selepas sangkar burung dan di kawasan pondok rehat. Bagaimanapun tiada apa ditemui di kawasan yang digali," katanya.

Gurbachan : Adakah kamu turut gali kolam (untuk mencari bahan bukti) di ladang itu.
Leong : Kami hanya gunakan kayu dan tidak menggali di kolam itu.

Kepada soalan peguam Ravi Nekoo yang mewakili tertuduh keempat, Khatavarayan, sama ada anak guamnya yang ditangkap pada 9 Sept 2010 di ladang itu turut dibawa bersama semasa pihak polis pergi semula ke ladang tersebut keesokan harinya (10 Sept), saksi itu menjawab tidak.

Leong turut ditanya Hakim Datuk Akhtar Tahir apa alasan yang diberikan oleh beliau kepada tertuduh kedua, ketiga dan keempat semasa mereka ditangkap di ladang itu pada 9 Sept 2010. "Saya beritahu mereka ditangkap bagi membantu siasatan satu kes bunuh di Gombak," jawab saksi itu.

Dalam keterangannya semalam, Leong memberitahu ketika membuat tangkapan ke atas tertuduh kedua, ketiga dan keempat di ladang tersebut pada 9 Sept 2010, pihak polis sedang menjalankan siasatan serentak iaitu kes kehilangan Sosilawati dan tiga lagi individu serta satu kes bunuh di Gombak.

Beliau dalam keterangannya berkata memandangkan pasukannya tidak menemui kaitan antara dua kes itu, pihaknya menahan ketiga-tiga tertuduh berkaitan kes bunuh di Gombak. Turut memberi keterangan pada hari ini ialah ASP Zainol Hisham Abu, 40, dari makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur, yang membantu siasatan pasukan forensik di lokasi penemuan barang kes iaitu di Sungai Panchau, Banting, pada 12 Sept 2010.

Pada satu ketika, saksi ke-28 pendakwaan itu ditegur Hakim Akhtar kerana kelihatan tidak selesa semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani. "Kenapa awak menggigil? Awak takut dengan DPP (Timbalan Pendakwa Raya) ke? Cuba tenangkan diri," kata Hakim Akhtar sambil ketawa dan Zainol Hisham yang kelihatan gugup menjawab "ya".

Perbicaraan bersambung pada 25 Julai. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails