VVIP DENAI CINTA

30 Julai 2011

Asp Ong Nafi Sediakan Jawapan Untuk Saksi Utama Kes Pembunuhan Sosilawati

SHAH ALAM, 29 Julai : Seorang pegawai polis menafikan di Mahkamah Tinggi Jumaat bahawa beliau bekerjasama dengan dua pegawai lain yang terlibat dalam penyiasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain ketika menyediakan soalan untuk merakam percakapan saksi utama pendakwaan kes itu, U Suresh.

Pegawai perakam, ASP Ong Seng Keong, 36, berkata sebaliknya beliau menyediakan soalan sendiri berdasarkan taklimat daripada pegawai penyiasat, ASP Ishak Yaakob, gambar rajah kasar, keratan akhbar dan laporan polis yang dibuat oleh pegawai soal siasat, Cif Inspektor N.Govindan.
Saksi itu juga menafikan bahawa beliau telah menyediakan jawapan kepada soalan untuk merakam percakapan Suresh, sebaliknya saksi itu yang memberi jawapan kepadanya.

"Saya kata awak berbohong di mahkamah. Soalan telah disiapkan dengan komplot antara kamu, ASP Ishak Yaakob dan Cif Ins N.Govindan," kata peguam Manjeet Singh Dillon, yang mewakili tertuduh pertama, N Pathmanabhan.

Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin, bangun dan membantah penggunaan perkataan 'komplot' oleh Manjeet dengan alasan ia perkataan yang 'jahat'. Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan bantahan itu serta mengarahkan Manjeet menarik balik penggunaan perkataan 'komplot' dan menggantikan dengan perkataan 'bekerjasama'.

Ong, pegawai penyiasat kanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, memberi keterangan pada prosiding perbicaraan dalam perbicaraan bagi menentukan kebolehterimaan isi kandungan rakaman percakapan Suresh mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Penentuan kebolehterimaan isi kandungan rakaman percakapan itu adalah bagi pihak pendakwaan mencabar kebolehpercayaan Suresh yang didakwa telah memberikan 22 keterangan bercanggah di mahkamah. Suresh, yang merupakan saksi ke-29 pendakwaan, sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.

Ong turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili tertuduh ketiga, R Matan, bahawa beliau menyediakan soalan lebih awal berpandukan taklimat daripada pegawai penyiasat kerana tidak mahu melanggar Peraturan Tetap Ketua Polis Negara (IGPSO) yang tidak membenarkan pegawai penyiasat berada bersama ketika rakaman percakapan saksi dibuat.

Terdahulu ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff, pegawai polis itu berkata walaupun mengakui bahawa seorang pegawai perakam perlu bersifat berkecuali, beliau perlu mengetahui tentang fakta kes itu sebelum menyediakan soalan untuk merakam percakapan Suresh.

Ketika diminta menerangkan maksud berkecuali oleh Ishak, Ong berkata pegawai polis berkecuali ialah pegawai polis yang tidak terlibat dalam penyiasatan kes itu. "Adakah kamu masih pegawai polis berkecuali walaupun sudah tahu fakta kes semasa merakam percakapan Suresh," soal Ishak, dan Ong menjawab "ya".

Ong juga mengakui bahawa beliau tidak menjelaskan kepada Suresh mengenai akibatnya apabila saksi itu memberi kenyataan kepada pihak polis, sebaliknya hanya memaklumkan Suresh mengenai peruntukan di bawah Seksyen 112 (2) (3) Kanun Prosedur Jenayah. "Suresh boleh faham apabila saya minta jurubahasa terjemahkan pada dia dalam Bahasa Tamil," katanya.

Pada Rabu lepas, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan untuk mencabar kebolehpercayaan Suresh yang memberi keterangan pada perbicaraan Pathmanabhan, bekas peguam bersama tiga pekerja ladangnya, T Thilaiyalagan, Matan dan R Kathavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai Bank Noorhisham Mohamad, 38 di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Perbicaraan disambung Isnin ini. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails