VVIP DENAI CINTA

28 Julai 2011

Saksi Berpaling Tadah Dakwa Dipaksa Mengaku

Bicara Dalam Perbicaraan Pertama Dijalankan
SHAH ALAM, 27 Julai : Prosiding kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini Rabu menyaksikan bicara dalam perbicaraan (TWT) yang pertama diadakan berikutan dakwaan seorang saksi pendakwaan bahawa dia telah dipaksa semasa memberi keterangan kepada pihak polis.

U Suresh, saksi ke-29 pendakwaan yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu mendakwa rakaman percakapan yang diberikan kepada pihak polis pada 26 Okt 2010 diambil secara paksa dan dia turut dipukul. Saksi itu bagaimanapun mengakui bahawa tanda tangan pada rakaman percakapan setebal 24 muka surat tersebut adalah miliknya.

Hakim Datuk Akhtar Tahir kemudian memutuskan untuk mengadakan TWT untuk menentukan kebolehterimaan isi kandungan rakaman percakapan itu mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff mengemukakan dokumen rakaman percakapan itu bagi mencabar kebolehpercayaan Suresh yang didakwa telah memberikan 22 keterangan bercanggah di mahkamah.

Antara penafian saksi itu termasuklah mengenai pembuangan tiga utas jam tangan dan pembuangan zink yang dijadikan alas untuk membakar serta menafikan setiap kata-kata dari N Pathmanabhan dalam kejadian itu.

Saksi pertama TWT, ASP Ong Seng Keong, 36, yang bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dalam keterangannya berkata bahawa rakaman percakapan yang diambil daripada Suresh dibuat secara sukarela dan tanpa paksaan.

Beliau yang ditugaskan untuk merekod rakaman percakapan Suresh oleh pegawai penyiasat ASP Ishak Yaakob berkata proses rakaman dilakukan secara temu bual antara dirinya, Suresh dan seorang jurubahasa polis yang fasih berbahasa Tamil.

"Ketika ditanya sama ada dia (Suresh) memahami setiap soalan dikemukakan, Suresh mengangguk kepalanya dan jurubahasa itu memberitahu kesemua soalan yang ditanya dalam bahasa Tamil dapat difahami dengan baik," katanya.

Beliau berkata rakaman percakapan saksi dibuat di Penjara Sungai Udang, Melaka pada 26 Okt 2010. Ong berkata rakaman video turut dibuat sepanjang beliau merakam percakapan Suresh bagi mengelakkan sebarang tohmahan bahawa rakaman itu dibuat secara paksaan.

Bekas peguam, N Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T Thilaiyalagan, 20, R Matan, 21, dan R Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohamad, 38 di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Perbicaraan bersambung Jumaat ini. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails