VVIP DENAI CINTA

04 Julai 2011

PEMBUNUHAN DATUK SOSILAWATI DIBICARA HARI INI

SHAH ALAM 3 Julai : Kes bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya yang didakwa atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya akan dibicara di Mahkamah Tinggi di sini mulai esok. Perbicaraan tersebut akan didengar oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir dan dijadualkan berakhir pada penghujung September ini.

Dianggarkan lebih 50 saksi yang terdiri daripada pihak polis, ahli forensik dan ahli keluarga mangsa akan dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan. Turut dipanggil sebagai saksi utama ialah dua lagi pekerja Patmanabhan, K. Sarawanan, 19, dan U. Suresh, 26.

Kedua-duanya sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati, 47, dan tiga lagi mangsa pembunuhan terbabit. Mereka yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu juga dalam proses merayu untuk kali kedua bagi mengetepikan hukuman oleh Mahkamah Tinggi di sini yang meminda hukuman asal dari tujuh tahun kepada 20 tahun.

Pathmanabhan, 41, bersama T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30, didakwa membunuh Sosilawati, pemandu wanita tersebut, Kamarudin Shamsudin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Norhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu. Mereka akan dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd. Ghani. Kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam Manjeet Singh Dhillon, Puspha Ratnam, Amer Hamzah Arshad, Datuk Ng See Teong, Ravi Nekoo dan Gurbachan Singh.

Kes berprofil tinggi itu mendapat perhatian umum apabila ahli perniagaan wanita terkenal tersebut dilaporkan hilang selepas dikatakan ke Banting atas urusan pembelian tanah pada 30 Ogos tahun lalu, iaitu ketika umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan.

Lebih mengejutkan, media massa kemudian melaporkan bahawa pihak polis mengesahkan bahawa keempat-empat mangsa dipukul sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

Berikutan pembongkaran kes ini, enam laporan polis turut dibuat terhadap Pathmanabhan berhubung kehilangan beberapa individu selepas membuat urusan perniagaan dengannya. Antaranya ialah jutawan dari Chennai, India, A. Muthuraja dan ahli perniagaan, Mohd. Shafik Abdullah, 37.

Seorang anggota polis berpangkat konstabel yang sering mengiringi Pathmanabhan dan pekerjanya semasa siasatan dijalankan, N. Devaraju, 36, pula maut selepas terbabit dalam kemalangan di Taman Desa Jaya, Kepong pada 3 Mac lalu. Kematian mengejut mangsa yang bertugas di Unit Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur turut disiasat selepas ahli keluarga mendiang mengesyaki wujud unsur khianat. - UTUSAN MALAYSIA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails