VVIP DENAI CINTA

28 Julai 2011

Pekerja Ladang Nafi Pathmanabhan Arah 'HABISKAN' Empat Individu Yang Datang Ke Ladang

SHAH ALAM, 27 Julai : Seorang pekerja ladang Rabu menafikan bahawa dia telah diarahkan oleh N Pathmanabhan, iaitu tertuduh pertama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, supaya 'habiskan' empat individu, termasuk seorang wanita Melayu yang datang ke sebuah ladang di Banting. Ladang itu didakwa menjadi lokasi pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain pada Ogos tahun lepas.

U Suresh, 27, yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu, juga menafikan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff bahawa dia mengetahui maksud 'habiskan' ialah untuk 'ajar' dan 'bunuh' keempat-empat individu tersebut.

Saksi ke-29 pendakwaan itu turut tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa Pathmanabhan telah membuat perancangan bersama dia (Suresh), dan tertuduh kedua, ketiga dan keempat iaitu T Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan pada 29 Ogos 2010 untuk 'mengajar' kesemua individu tersebut yang datang ke ladang dengan dua buah kereta mewah jenis BMW.

Ketika Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan bahawa tertuduh pertama (Pathmanabhan) adalah tuan punya ladang tersebut dan merupakan majikannya, Suresh menjawab "saya tidak tahu."

Saksi itu seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa dia ada nampak dua buah kereta jenis BMW X5 dan BMW saloon masuk ke ladang pada 30 Ogos 2010, kira-kira pukul 7 petang dengan alasan ketika itu dia tidak berada di situ.

Ishak : Saya katakan kereta BMW X5 dipandu oleh seorang lelaki Melayu dan sebelahnya seorang perempuan Melayu manakala majikan awak Pathma (tertuduh pertama) turut berada dalam kereta itu.

Suresh : Saya tidak setuju... saya tidak nampak.

Ishak : Saya katakan semasa di ladang dan di dalam kereta BMW saloon awak lihat dua lelaki Melayu keluar dari kereta itu.

Suresh : Saya tidak setuju... saya tidak ada di tempat itu.

Ishak : Saya katakan semasa sampai di ladang, majikan kamu Pathma (tertuduh pertama) beritahu 'habiskan' dalam Bahasa Tamil beberapa kali kepada kamu, Sarawanan (seorang lagi pekerja ladang yang sedang menjalani hukuman penjara kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu), tertuduh kedua, ketiga dan keempat.

Suresh : Saya tidak setuju.

Pathmanabhan, bekas peguam, dan Thilaiyalagan, Matan serta Khatavarayan, ketiga-tiganya pekerja ladang, dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ishak : Pada 30 Ogos 2010, sebaik sahaja lawyer Pathma cakap habiskan, tertuduh keempat (Khatavarayan) telah keluar dan pegang salah seorang lelaki Melayu yang pandu kereta BMW X5.

Suresh : Saya tidak setuju, saya tidak nampak.

Ishak : Awak nampak tertuduh kedua (Thilaiyalagan) pegang perempuan Melayu itu dan Sarawanan serta tertuduh ketiga (Matan) pegang lelaki Melayu.

Suresh : Saya tidak setuju.

Ishak : Selepas itu awak nampak tertuduh ketiga (Matan) beri satu parang pada tertuduh keempat (Khatavarayan).

Suresh : Tidak setuju.

Saksi itu seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa semasa tertuduh ketiga memberi parang pada tertuduh keempat, dia ada berhampiran dengan mereka dan Suresh juga tidak bersetuju bahawa keempat-empat individu tersebut dibawa ke sebuah bilik.

"Kira-kira pukul 7 petang, lawyer Pathma ada arahkan perempuan Melayu itu buat call pada keluarga perempuan Melayu itu, awak ada nampak," soal Ishak dan Suresh menjawab tidak setuju.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa perempuan Melayu itu tidak bersetuju untuk membuat panggilan seperti diarahkan oleh Pathmanabhan. "Selepas perempuan itu enggan buat call, lawyer Pathma suruh kamu dan rakan-rakan kamu untuk takutkan perempuan Melayu itu dengan memukul lelaki Melayu yang pandu BMW X5," soal Ishak dan Suresh menjawab tidak setuju.

"Tertuduh keempat telah guna satu kayu kriket untuk pukul paha pemandu BMW X5 manakala Sarawanan guna kayu untuk pukul tangan pemandu itu dan awak juga ada pukul paha pemandu itu," soal Ishak dan saksi itu menjawab tidak setuju.

Suresh juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa semasa pemandu BMW X5 itu dipukul, Pathmanabhan berada di sebelah perempuan Melayu tersebut dan melihat kejadian itu. "Selepas awak, Sarawanan, tertuduh kedua, ketiga dan keempat pukul pemandu, perempuan Melayu itu telah buat panggilan pada keluarganya kerana ketakutan," soal Ishak dan saksi itu menjawab tidak setuju.

Ishak : Begitu juga dengan dua lelaki Melayu lain turut buat panggilan pada keluarga mereka kerana takut dipukul.

Suresh : Tidak setuju.

Ishak : Awak juga ada dengar lawyer Pathma suruh perempuan Melayu itu dan juga dua lelaki Melayu selain pemandu untuk hantar SMS yang tidak benar kepada keluarga mereka.

Suresh : Tidak setuju.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, Suresh yang memberi keterangan pada hari ke-12 perbicaraan bersetuju bahawa dia telah diarahkan untuk membeli minyak petrol dan diesel di sebuah stesen minyak di Tanjung Sepat pada hari kejadian. Saksi itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Saiful Edris bahawa petrol dan diesel tersebut digunakan untuk tujuan pembakaran.

"Pada 30 Ogos 2010 sebelah malam, kamu ada buat pembakaran," soal Saiful Edris dan Suresh menjawab tidak setuju. "Kamu kata ada melihat Sarawanan, tertuduh kedua, ketiga dan keempat dalam ladang sedang buat persiapan iaitu menaikkan bendera untuk raikan kemerdekaan, bagaimana kamu raikan kemerdekaan di ladang itu?," soal Saiful Edris.

"Bila saya balik ke ladang kira-kira pukul 11.40 malam saya nampak mereka ada makan dan minum beer," jawab Suresh. "Lawyer Pathma telah arah kamu bawa BMW X5 dan tinggalkan jauh serta jangan tinggalkan kesan cap jari," soal Saiful Edris dan saksi itu menjawab tidak setuju.

Suresh juga tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya bahawa Pathmanabhan turut mengarahkan agar dia membuang kunci kereta tersebut. Saksi itu seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Saiful Edris bahawa apabila pulang ke ladang dia nampak tertuduh kedua serta ketiga sedang membakar sesuatu.

Dia juga tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya bahawa setibanya di ladang, tertuduh kedua serta ketiga mengarahkannya supaya mandi dengan air kunyit dan meminta dia menyerahkan pakaiannya untuk dibuang ke tempat pembakaran.

"Keesokan harinya, sebelah pagi, kamu nampak tertuduh kedua dan ketiga sedang kutip abu," soal Saiful Edris dan Suresh menjawab tidak setuju. Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Saiful Edris bahawa tertuduh kedua dan ketiga memasukkan abu yang dikutip ke dalam tong berwarna biru yang kemudian dibawa naik ke sebuah kereta jenis Isuzu D-Max.

Saiful Edris : Tertuduh kedua dan ketiga ada beritahu kamu bahawa dalam tong biru ada abu satu perempuan Melayu dan tiga lelaki Melayu.
Suresh : Tidak setuju.

Saiful Edris : Selepas itu kamu ikut tertuduh keempat, kedua dan ketiga untuk buang abu itu ke dalam Sungai Panchau.
Suresh : Tidak setuju.

Suresh seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya bahawa dia turut terlibat membuang zink ke dalam Sungai Kampung Kelanang, Banting, dan tidak bersetuju dengan cadangan Saiful Edris bahawa zink itu digunakan untuk melapik pembakaran keempat-empat individu tersebut.

"Selepas kejadian pada 30 Ogos 2010, lawyer Pathma ada beritahu kamu kes ini dah masuk suratkhabar dan dia beritahu jangan beritahu sesiapa tentang kejadian berkaitan satu perempuan Melayu dan tiga lelaki Melayu," soal Saiful Edris dan saksi itu menjawab tidak setuju.

"Majikan kamu juga beritahu jika kamu, tertuduh kedua, ketiga dan keempat ditangkap polis jangan risau kamu semua akan dijamin," soal Saiful Edris dan Suresh menjawab tidak setuju.

Kesemua keterangan yang diberikan oleh saksi ke-29 itu dibuat selepas pihak pendakwaan dibenarkan untuk menyoal balasnya berikutan keputusan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang membenarkan permohonan mereka selepas bersetuju bahawa perwatakan dan cara saksi tersebut menjawab boleh merumuskan dia seorang saksi yang berpaling tadah. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails