VVIP DENAI CINTA

28 November 2010

AMBILLAH ORGANKU ANDAI IA BERMANFAAT UNTUKMU

"Organ dah tubuh badanku ini, bukanlah milikku. Segalanya milikMU wahai TUHANku. Jika setelah kematianku, ada bahagian dari tubuhku ini yang boleh memberi manfaat kepada insan lain, maka ambillah ia..." Daftarlah hari ini sebagai penderma organ di PUSAT SUMBER TRANSPLAN NASIONAL.

Waris Digalak Derma Organ Mangsa Kemalangan Maut
KUALA TERENGGANU, 28 Nov : Waris mangsa kes-kes kemalangan maut akan digalakkan untuk mendermakan organ mangsa bagi membantu pesakit yang memerlukan pemindahan organ, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Tan Sri Lee Lam Thye.

Walaupun menyedari hal itu sesuatu yang sukar diterima, opsyen berkenaan perlu diberi kepada waris atau keluarga mangsa kemalangan maut di negara ini yang angkanya mencecah 6,000 hingga 7,000 setiap tahun.

Lee berkata langkah Kementerian Kesihatan menempatkan kaunselor di hospital-hospital kerajaan bertepatan dan bilangannya perlu ditambah bagi membantu waris mangsa. "Ada beberapa kes ibu bapa mangsa kemalangan bersetuju membenarkan organ anak mereka didermakan untuk membantu orang lain selepas diberi penerangan oleh pihak berkaitan termasuk hospital dan kaunselor."

"Kita lihat cadangan ini munasabah dalam usaha membantu pesakit memerlukan pemindahan organ. Pada masa ini dianggarkan 11,000 pesakit buah pinggang berada dalam senarai menunggu penderma organ di seluruh negara," katanya selepas merasmikan Program Pendermaan Organ peringkat negeri Terengganu di sini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nordiyanah Hassan dan Ketua Pengurus, Pusat Sumber Transplan Nasional, Hospital Kuala Lumpur, Datin Dr Lela Yasmin Mansor. Lee berkata kini kesedaran di kalangan rakyat terhadap pendermaan organ semakin meningkat dengan jumlah 22,910 permohonan diterima Pusat Sumber Transplan Nasional untuk menjadi penderma organ dari Januari sehingga Oktober tahun ini.

Secara keseluruhannya, sejak 1997 sehingga Oktober lalu, terdapat 147,831 pengikrar penderma organ dengan 80,028 adalah wanita dan selebihnya 66,916 adalah lelaki. Sementara itu, Dr Lela Yasmin berkata lebih ramai kaunselor berkelayakan akan ditempatkan di hospital-hospital seluruh negara untuk memberi penerangan kepada keluarga mangsa kemalangan maut berhubung pendermaan organ.

Beliau berkata pihaknya akan melatih lebih ramai kaunselor terdiri daripada doktor, pegawai agama, petugas-petugas di makmal radiologi dan telefonis yang akan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi hospital-hospital seluruh negara. "Akan datang kumpulan kaunselor ini akan juga ditempatkan di hospital universiti dan hospital swasta," kata Dr Lela Yasmin.

Sementara itu, seorang bapa kepada seorang mangsa kemalangan maut yang bersetuju buah pinggang anaknya didermakan turut berkongsi pengalaman. Menurut Wan Ahmad Fauzi Wan Abdullah, 43, yang kematian anak sulungnya, Wan Khairi Aiman, 16, akibat kemalangan empat tahun lepas bersetuju menderma organ anaknya itu setelah mendapat penerangan daripada kaunselor hospital.

Beliau berkata pada awalnya beliau dan keluarga agak keberatan, namun setelah mendapatkan penjelasan lanjut daripada seorang ustaz di kampungnya mereka bersetuju mendermakan buah pinggang anaknya.

"Sebelah buah pinggang itu didermakan kepada adik ipar saya yang mengalami masalah kegagalan buah pinggang, dan sebelah lagi didermakan kepada seorang penerima berbangsa Cina dari Perak. Mengetahui kedua-dua penerima kini hidup sihat dengan buah pinggang anak saya, saya turut gembira. Saya yakin keputusan mendermakan organ arwah sesuatu yang tepat," katanya.

1 ulasan:

LoVe is CiNta berkata...

dgr citer..siti khadijah sebelum meninggal pon ade pesan kat nabi kiranya tulang dia tu bole dibuat jambatan ke ..

Related Posts with Thumbnails