VVIP DENAI CINTA

24 November 2010

AMINULRASYID : Pegawai Penyiasat Akui Kesilapan Tidak Ambil Gambar

SHAH ALAM, 23 Nov : Seorang pegawai penyiasat polis dari unit forensik hari Selasa mengakui kesilapannya di Mahkamah Sesyen di sini kerana tidak mengambil gambar kedudukan dan keadaan mayat Aminulrasyid Amzah semasa beliau menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Cif Insp Mazli Jusoh @ Che Kob dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjawab soalan peguam M.Athimulan pada perbicaraan kes Koperal Jenain Subi, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lepas.


Saksi ke-25 pendakwaan itu juga mengakui kecuaiannya yang hanya mengambil satu kelongsong peluru pada hari kejadian berdasarkan taklimat daripada pegawai penyiasat asal kes itu bahawa kes berkenaan lebih bertumpu kepada anggota polis peronda yang melepaskan tembakan.

"Kecuaian boleh menjejaskan perjalanan kes ini kerana kelongsong-kelongsong peluru yang diambil dua hari selepas kejadian ada kemungkinan boleh dirosakkan oleh sesiapa," kata Athimulan dan Mazli bersetuju dengan cadangannya.

Dalam keterangannya sebelum ini saksi itu berkata pemeriksaan yang dilakukan pasukannya bermula dari Bulatan Kayangan, Seksyen 11 sehingga ke tempat kejadian pada 28 April lepas iaitu dua hari selepas kejadian, menemui sejumlah 15 kelongsong peluru dan dua serpihan anak peluru.

Ketika diminta Mohd Dusuki untuk menerangkan maksudnya mengenai kemungkinan kelongsong peluru boleh dirosakkan oleh sesiapa, Mazli berkata kelongsong-kelongsong lain yang dijumpai dua hari selepas kejadian itu mungkin dilepaskan oleh senjata yang berbeza dan ia menunjukkan lebih daripada seorang yang melepaskan tembakan.

"Jika terlewat pungut barang kes mungkin barang-barang kes bukan berada di kedudukan yang asal dan tidak boleh menggambarkan kejadian sebenar. Bila didapati ada dua penembak yang lepaskan tembakan kemungkinan tembakan yang mengenai mangsa adalah daripada salah seorang penembak yang telah melepaskan tembakan," katanya.

Sementara itu, Mazli juga memberitahu bahawa beliau dan pasukannya telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang dikatakan bergesel dengan kereta Proton Iswara Aeroback yang dipandu mangsa pada hari kejadian.

Beliau berkata, pihaknya diminta oleh pegawai penyiasat melakukan pemeriksaan itu pada 4 Mei lepas kerana pemilik kereta jenis Toyota Celica tersebut telah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

"Pemilik kereta Toyota berwarna biru gelap itu telah tunjukkan kesan geseran pada bahagian bumper depan belah kanan keretanya dan hasil pemeriksaan saya dapati pada geseran itu tidak ada kesan cat asing," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ditanya peguam Salim Bashir yang mewakili Jenain sama ada beliau ada melakukan pemeriksaan ke atas kereta dipandu mangsa bagi mengenalpasti kewujudan kesan cat asing pada badan kereta itu untuk dibuat perbandingan, Mazli menjawab beliau tidak berbuat demikian kerana tidak mendapat arahan daripada pegawai penyiasat. Turut memberi keterangan hari ini ialah Lans Koperal Madi Samsudin dari cawangan persenjataan Balai Polis Seksyen 6 di sini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung pada 29 Nov ini.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails