VVIP DENAI CINTA

28 November 2010

Ajaran Sesat Lumpuh? Tetapi AYAH PIN Terus Berlari Ke Langit!!!

Jakim kata kegiatan ajaran sesat terhimpit dan lumpuh. Betul ke...? Mungkin hari ini lumpuh, esok lusa timbul semula. Ayah Pin, kemana menghilangnya malaun ini. Jakim dan pihak berkuasa perlu proaktif! Dalam kes Ayah Pin (kerajaan Langit), pihak berkuasa hanya dilihat bertindak setelah masyarakat mengambil tindakan sendiri dengan menyerang dan membakar perkampungan kumpulan ajaran sesat ini. Semoga kumpulan ajaran-ajaran sesat boleh terus dihapuskan agar tiada lagi yang terus terpedaya!!!

Kegiatan Ajaran Sesat Kini Terhimpit, Lumpuh - Jakim
BERNAMA
KUALA LUMPUR, 27 Nov : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yakin hasil tindakan proaktif pihak berkuasa agama negeri dan Persekutuan berjaya menyekat dan melumpuhkan gerakan dan aktiviti kumpulan ajaran sesat di negara ini. Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata kumpulan-kumpulan ini sekarang sukar mendapat pengikut, berikutan masyarakat yang lebih berpengetahuan, bermaklumat dan tahu mengenai kepercayaan khurafat dan sesat.

"Cuma Islam Jamaah, apabila sukar (bergiat) di Selangor ia cuba cari tapak lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Dakwah Komuniti Islam di Malaysia pada hari Sabtu. Beliau berkata semua kumpulan ajaran sesat ini dalam pemerhatian Jakim, dan "kalau ada yang cuba bergerak semula, kita tangani dengan bantuan pasukan keselamatan".

Wan Mohamad berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai penahanan 21 orang pengikut ajaran sesat Islam Jamaah di sebuah surau persendirian Kampung Sungai Tangkas, Bangi selepas solat Jumaat semalam. Ajaran Islam Jamaah, yang difatwakan salah dan sesat pada 1998, antara lain menolak hukum ijmak dan qias, tidak perlu menyembelih haiwan untuk dimakan, melakukan solat Jumaat di rumah dan menolak ajaran Mazhab Syafie.

Mengenai program yang diadakan hari ini, Wan Mohamad berkata kini terdapat keperluan supaya sebarang inisiatif dari Malaysia untuk membantu masyarakat Islam di luar negara berstruktur dan menunjukkan Malaysia sebagai model yang boleh menjadi ikutan.

"Kita maklum di Malaysia, komuniti Cham, yang asalnya pelarian dah menetap sudah berjaya di sini. Jadi kita merasakan potensi mereka ini perlu digembleng dan diselaras supaya mereka dapat membantu saudara-saudara mereka di Kemboja dan Vietnam," katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya satu program jangka panjang yang strategik seperti dalam bidang pendidikan diadakan, selain bantuan mengerjakan korban pada Hari Raya Aidil Adha yang diamalkan pada masa ini. Seramai 800 peserta menyertai seminar sehari yang diadakan di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails