VVIP DENAI CINTA

19 Julai 2012

Kes Sosilawati : Sapina Dikemuka Untuk Malukan Pihak Pendakwaan

SHAH ALAM, 6 Julai 2012 : Tindakan mengemukakan sapina kepada tiga Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain adalah bertujuan untuk memalukan pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi diberitahu di sini Jumaat.
 
TPR Nur Azimul Azami Mohamad Nor berkata permohonan pihak pembelaan untuk mensapina Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani sebagai saksi dalam permohonan mereka untuk membuang dua eksibit dalam kes itu juga bertujuan mengeluarkan mereka daripada pasukan pendakwaan. 
 
"Permohonan ini bersikap mala fide bertujuan mengganggu kelancaran perbicaraan kes ini. Pembelaan dalam keadaan tertekan setelah tertuduh pertama, N.Pathmanabhan memberi keterangan dan disoal balas."
 
 "Tidak keterlaluan juga dikatakan ia bertujuan memperlekeh kebebasan pendakwa menjalankan tugas mereka. Permohonan ini juga bersifat 'serangan balas dan menyalahguna proses mahkamah', yang mana mahkamah ini tidak harus benarkan berlaku," hujahnya dalam permohonan pihak pendakwaan untuk mengetepikan sapina itu. 
 
Pada Rabu lepas, ketiga-tiga TPR itu disapina untuk menjadi saksi dalam permohonan pihak pembelaan untuk membuang dua eksibit berupa nota prosiding membabitkan kes dua saksi pendakwaan, U Suresh dan K Sarawanan, yang didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting atas kesalahan melupuskan bukti dalam kes pembunuhan itu. Suresh, 28, dan Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka. 
 
Bekas peguam Pathmanabhan, 43, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 21, R Matan, 22, dan R Kathavarayan, 32, diperintah membela diri atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44. 
 
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 
 
Nur Azimul seterusnya berhujah, adalah tugas pihak pendakwaan untuk menulis sesuatu fakta kes jika tertuduh ingin mengaku salah, manakala tugas mahkamah pula untuk memutuskan sama ada sesuatu fakta kes itu patut diterima atau sebaliknya. 
 
"Dalam kes melibatkan kedua-dua penama (Suresh dan Sarawanan), nota prosiding dengan jelas menunjukkan semua kehendak undang-undang telah dipenuhi seperti tertuduh faham sebab dan akibat pengakuan. Oleh itu, adakah TPR yang bertindak sebagai pegawai mahkamah harus menjadi saksi bagi setiap tindakan mereka," katanya. 
 
Selain itu, Nur Azimul berkata sapina ke atas Ishak, Saiful Edris dan Idham perlu diketepikan kerana mereka tidak dapat memberi keterangan yang relevan atau material untuk membantu pihak pembelaan. 
 
Ini kerana, katanya, peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, masih mempunyai permohonan di Mahkamah Rayuan untuk memadamkan fakta yang mengaitkan anak guamnya di dalam kedua-dua nota prosiding berkenaan. 
 
"Dalam nota keterangannya, Manjeet dengan jelas menyatakan beliau akan menjadikan Ishak, Saiful Edris dan Idham sebagai saksi belot. Ini menunjukkan niat sebenar permohonan ini sebelum ketiga-tiga TPR berkenaan dipanggil menjadi saksi lagi."
 
 "Sedangkan untuk menjadikan seorang saksi belot, perlu ada fakta bahawa saksi itu bersikap belot. Semata-mata nama ketiga-tiga TPR berkenaan tertera dalam nota prosiding Mahkamah Majistret Telok Datok tidak memberi justifikasi mereka akan menjadi musuh," katanya. 
 
Nur Azimul berkata seharusnya pihak pembelaan memanggil saksi yang relevan seperti peguam yang mewakili Suresh dan Sarawanan ketika prosiding di Mahkamah Majistret Telok Datok, sebaliknya TPR yang mengendalikan pendakwaan kes itu yang disapina. 
 
Manjeet berhujah bahawa sebarang keterangan dari mana-mana saksi yang menyentuh bagaimana dua dokumen (nota prosiding) dirangka adalah relevan dan material. Beliau berkata barisan pendakwaan bertindak 'mala fide' kerana mereka menyesuaikan keterangan dan memanipulasi draf serta pembentangan fakta untuk tujuan digunakan pada perbicaraan yang dijangka di Mahkamah Tinggi. 
 
"Bukti-bukti pendakwa raya adalah penting untuk mewujudkan perbalahan dua dokumen (nota prosiding), pemulihan kredibiliti Suresh dan Sarawanan dan seterusnya menegaskan keterangan yang mereka memberi sebagai saksi pendakwaan memihak kepada pembelaan," katanya. 
 
Peguam Amer Hamzah Arshaf berhujah pada ketika Suresh dan Sarawanan didakwa, masih belum ada sabitan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap mana-mana tertuduh pada perbicaraan ketika ini. Dalam erti kata lain, katanya, masih belum ada tuduhan utama dibentuk untuk tujuan dakwaan terhadap Suresh dan Sarawanan. 
 
"Ia perlu diingat bahawa mahkamah tidak boleh mensabitkan Suresh dan Sarawanan sehingga dan melainkan jika ia boleh membuktikan bahawa kesalahan utama pembunuhan telah dilakukan," hujahnya. Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan 23 Julai ini untuk memutuskan perkara itu. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails