VVIP DENAI CINTA

19 April 2011

Tahniah NGV Tech : Buktikan Melayu Mampu Bersaing

KUALA LUMPUR, 19 April : PAS mengucapkan tahniah kepada syarikat NGV Tech Sdn Bhd (NGV Tech) kerana meneroka bidang pembuatan kapal hingga berjaya menembusi pasaran dunia dan meraih tempahan bernilai RM3 bilion sepanjang lima tahun lalu. Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ini menunjukkan bahawa syarikat yang dimiliki oleh orang Melayu mampu untuk mencipta suatu teknologi yang tinggi jika diberi peluang tanpa campur tangan politik.

"Selama ini kita tidak pernah dengar syarikat NGV Tech yang hebat dan mampu bersaing dengan syarikat antarabangsa," ujarnya dalam satu kenyataan. Tambahnya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri tidak percaya ada syarikat Melayu mampu membina kapal laut berteknologi tinggi kerana kebiasaan dibuat oleh negara maju.

Mahathir menyatakan demikian pada majlis pelancaran kapal tunda Mariner 1 kepada Marine Services Private Ltd (Arab Saudi) yang disempurnakan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Limbungan Sijangkang Banting. "Kenyataan beliau (Mahathir) menunjukkan inilah mentaliti yang ada kepada pemimpin negara kita sejak dahulu sampai sekarang," ujar Idris.

Tambahnya, suatu ketika dahulu kita sering melihat di paparan media mengenai kehebatan Zulkifli Haron yang mendahului zaman dalam penciptaan teknologi yang canggih, sehingga beliau digelar sebagai McGyver Malaysia.

Katanya, bermula dengan kereta parkir sendiri, rumah pintar, kuasa solar, ternak ikan laut di tengah bandar. "Beliau sudah terlibat dalam ikon reka cipta lebih daripada 20 tahun tetapi malangnya khidmatnya kurang dimanfaatkan oleh negara, sebaliknya lebih bangga dengan ciptaan negara luar," ujarnya.

Idris menambah, sekiranya Zulkifli Haron rakyat Jepun atau Amerika Syarikat, beliau akan menjadi jutawan seperti Bill Gates tetapi malang sekali Zulkifli ialah anak Melayu yang tinggal di Malaysia. Justeru, ujarnya PAS memandang penting modal insan dan kepakaran yang Allah berikan kepada manusia, yang perlu dibangunkan dengan baik.

Persoalannya, kata beliau kenapa modal insan ini diketepikan begitu sahaja tanpa pembelaan dengan baik. PAS, tegasnya yakin jika diberi kepercayaan orang Melayu tanpa unsur pilih kasih dan penindasan, orang Melayu mampu untuk membina kapal selam yang boleh menyelam.

Tambahnya, tetapi selagi dasar pilih kasih yang dijalankan oleh pemimpin Umno selagi itulah Melayu tidak boleh maju walaupun mempunyai inovasi yang tinggi. Sebenarnya, kata beliau kajian-kajian dan penemuan baru yang dibuat di Pusat Pengajian Tinggi di Malaysia, malangnya ia hanya menjadi kajian ilmiah sahaja sedangkan penemuan-penemuan mereka adalah kontemporari.

Menurutnya, perkara ini berlaku kerana pemimpin negara ini hanya memandang hebat apa yang datang daripada luar. Sebab itu, ujarnya Datuk Seri Najib sendiri pun mengambil APCO sebagai penasihat walaupun membazir wang rakyat sebanyak RM77 juta setahun. "Pada hal khidmat ini boleh didapati di dalam negara ini oleh rakyat kita sendiri tanpa perlu wang negara mengalir keluar," ujarnya. - Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails