VVIP DENAI CINTA

14 Julai 2010

KES AMINULRASYID : Saksi Ditekan, Tak Dapat Cam Suspek

Azamuddin Omar, saksi utama kes kematian Aminulrasyid Amzah, didakwa telah 'ditekan' oleh pihak berkuasa menyebabkan beliau tidak dapat mengecam anggota polis yang terbabit. Abangnya, Hafizuddin Omar, 24, mendakwa Azamuddin juga dipaksa untuk mengikuti sesi kawad cam itu minggu lalu tanpa ditemani peguam.

"Peguam perlu ada di samping dia setiap masa untuk setiap urusan melibatkan polis untuk pastikan siasatan ini adil dan telus. Tambahan pula dia masih di bawah umur," katanya dalam satu sidang media di pusat khidmat ahli parlimen Shah Alam petang ini.

Dakwanya lagi, adiknya itu juga dimarahi pegawai polis ketika kawat cam tersebut kononnya 'melambat-lambatkan tugas polis'. Katanya, tekanan itu juga menyebabkan Azamuddin tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sedangkan pelajar tingkatan tiga itu perlu menghadapi peperiksaan PMR tahun ini.

Beliau juga khuatir polis sengaja bertindak demikian untuk untuk mengelakkan kes tersebut daripada dibicarakan
. "(Azamuddin) ditekan seolah-olah dia ini penjenayah sedangkan dia adalah saksi utama. Hak dia untuk diwakili peguam juga diketepikan (ketika kawad cam)," katanya lagi.

Sementara itu, seorang wakil PIBG sekolahnya Monaliza Mokhtar berkata beliau mendengar pegawai polis menengking Azamuddin ketika kawad cam tersebut yang berlangsung di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam. Tambahnya, apabila beliau masuk ke bilik kawat cam tersebut, barulah pegawai polis tersebut melayan Azamuddin dengan baik.

"Saya dengar pegawai polis tersebut menjerit-jerit dan memarahi Azamuddin," kata Monaliza dalam sidang media sama. "Kemudian saya minta untuk tenangkan Azamuddin. (Azamuddin) kata dia tertekan sebab dia tidak nampak (suspek pada malam kejadian), jadi dia tidak boleh cam," katanya lagi.

Katanya, beliau hadir ke situ untuk menemani Azamuddin memandangkan peguam tidak dapat hadir bersama pelajar tersebut kerana dimaklumkan pada saat terakhir. - MALAYSIAKINI


KELUARGA SAKSI UTAMA MARAH POLIS - Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 13 Julai : Kaedah siasatan polis ke atas saksi utama kes Aminulrasyid Amzah, Mohd Azamuddin Omar menimbulkan rasa tidak puas hati keluarganya.
Mohd Haafizuddin Omar, 24, abang saksi utama pagi tadi mempersoal tindakan polis mengarahkan adiknya, Azamuddin melakukan kawad cam ke atas beberapa suspek pembunuh Aminulrasyid, 15, Selasa lepas.

"Kita nak tahu, kenapa nak buat kawad cam lagi sedangkan pegawai yang menembak kawan adik saya itu sudah dikenal pasti," soal beliau ketika menghubungi Harakahdaily pagi tadi.
Menurut beliau, sepatutnya pihak berwajib boleh mengenal pasti beberapa pegawai polis lain yang terbabit dengan terus menyiasat suspek terbabit.

"Kenapa tak siasat terus dan polis sudah ada suspek bukan," tegas beliau yang juga kakitangan di Jabatan Perkhidmatan Undang-Undang, TNB.
Tambahnya lagi, kaedah siasatan polis itu turut dipertikai oleh bapa kepada saksi utama sendiri, yang kebetulan seorang pegawai polis.

"Takkan dia (suspek) seorang saja terlibat, kereta polis yang kejar-mengejar pun ada dua (kereta), logikkah seorang saja yang terlibat," ujar beliau memetik kenyataan bapanya, Omar Jamaluddin.
Melihat layanan yang dialami oleh saksi utama, beliau menganggap pihak polis tidak berniat memberi keadilan hak kepada keluarga Aminulrasyid serta adiknya sendiri.

Ekoran itu, beliau bertekad mendedahkan beberapa bukti lain 3 petang ini di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di Worldwide Business Center, Shah Alam.
26 April lalu, Aminulrasyid ditembak oleh polis di selekoh berdekatan kediaman arwah, Syeksyen 11, Shah Alam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar pada suatu kenyataan menuduh arwah sebagai suspek penjenayah; lalu disokong oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) dan Tan Sri Musa Hassan (Ketua Polis Negara).
Sedangkan pasukan peguam bagi keluarga Aminulrasyid yang diketuai oleh N. Surendran mendakwa polis membunuh arwah.

Kabinet Perdana Menteri kemudiannya merakamkan takziah ekoran keluarga mangsa dan rakyat lantang mempertikai sikap kerajaan.
Sebuah panel khas turut ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat kes itu. Hishammuddin di Dewan Rakyat semalam, mengesahkan bahawa kertas siasatan kes itu telahpun diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Manakala, dilaporkan kes tembakan arwah akan didengar semula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Jun depan.
Sekiranya pegawai polis berpangkat korporal serta suspek yang lain didapati bersalah membunuh, mereka bakal menghadapi 30 tahun hukuman penjara dan beberapa denda berwajib mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails